Menyambut kenyataan akhbar ARMADA Bersatu Negeri Perak tentang Realiti Politik Baru, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak merasa terpanggil untuk memberi komen kepada artikel berkenaan. Suka untuk diingatkan kembali, kelahiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ialah serpihan daripada parti UMNO yang mana ahli PPBM adalah di kalangan ahli UMNO sebelum ini. Dan penubuhan parti politik PPBM ini tidak lain hanya bertujuan untuk menjatuhkan Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-6, YB Dato’ Seri Najib Tun Razak. Kerana itu, PPBM rela bersekongkol dengan DAP dan PKR yang konsisten untuk mendapatkan kuasa bagi survival politik individu tertentu.
Buat sahabat Ketua ARMADA Bersatu Negeri Perak, Saudara Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, kenyataan saudara yang menuduh sesetengah pihak sebagai dangkal dan jumud dalam politik adalah amat tidak tepat pada masa dan tempatnya. Kenyataan PPBM hampir sama dengan Semangat 46 adalah lebih tepat dan relevan. Soalan saya, kepada saudara berkenaan keputusan Pilihanraya 14, berapakah kerusi yang dimenangi oleh PPBM? Bertanding sebanyak 52 kerusi dan menang hanya 13 Kerusi iaitu 25% daripada kerusi yang ditandingi. Berapakah kerusi yang dimenangi oleh UMNO pula? 54 kerusi daripada 121 kerusi yang ditandingi iaitu 44.53%. Parti manakah yang lebih relevan? Hayat politik PPBM hanya mampu bertahan apabila 15 daripada Ahli Parlimen UMNO melompat parti dengan menyertai PPBM. Justeru itu, adakah benar kenyataan saudara UMNO ini angkuh dan ujub? Siapakah sebenarnya perlu menunduk ke bumi berjalan dan bukannya mendabik dada mendongak ke langit? UMNO tetap relevan dan akan terus relevan membantu dan membela rakyat di Malaysia.
UMNO tidak beretorik dan berjiwa besar apabila menerima cadangan Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8 walaupun saat itu, UMNO memiliki Ahli Parlimen yang paling ramai. Saudara, membaca dan memahami itu bukanlah sesuatu yang sukar jika kita benar ingin memahami tentang sesuatu perkara.
Kenyataan saudara ini kami yakin bertitik tolak kepada kenyataan Ahli Parlimen Mersing dan juga kenyataan Dato’ Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Fahami isu sebelum menuduh pihak lain sebagai dangkal dan jumud. Fahami dahulu maksud dangkal dan jumud. Akui hakikat kelangsungan hayat politik PPBM di hujung tanduk jika tiada tangan sahabat-sahabat daripada UMNO dan PAS. Tidak perlu menghina kami di UMNO, kerana kerajaan yang ada sekarang juga belum tentu kukuh tanpa kami. Saudara juga belum tentu berada di kedudukan sekarang tanpa sokongan kami kepada YAB Menteri Besar Perak. Bermuhasabahlah. Kembali ke fitrah kita sebagai orang Islam dan bangsa Melayu yang sentiasa menunduk menginsafi diri. Berubahlah kepada jalan yang lebih baik. Mengakui kelemahan diri lebih mulia dari menuding jari kepada orang lain atas kelemahan diri sendiri.
Mohd Ariff Abdul Majid
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak