Sekitar dua minggu ini, sebelum kunjungan Tun Dr Mahathir ke ibu pejabat PKR dan sesudahnya isu yang berlegar ialah jika berlaku peralihan kuasa siapa yang akan menjadi Perdana Menteri? Banyak spekulasi mengatakan kebuntuan memilih calon PM, Tun Mahathir tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi PM? Adakah dalam percaturan kabinet peralihan kuasa PH, Mukriz akan menjadi timbalan perdana menteri.
Jika diteliti wacana berita dan ulasan di media baharu dan tradisional, tiada satu yang menulis dan membuat laporan bahawa Tun Mahathir tidak menyatakan sebarang persetujuan untuk Anwar jadi PM? Ia terus menjadi tanda tanya. Adakah ia adalah wayang-wayang yang dimainkan supaya musuh-musuh politik di luar atau dalam selimut tidak dapat menghidu percaturan di celah-celah hutan politik Kovidtokrasi.
Banyak sangat tayangan wayang yang berlaku sekarang sehingga yang realitinya sudah kabur dan keliru, tidak lagi dapat dibezakan antara yang benar dan palsu menjadi palsu. Wayang politik sedang bergelora antara rancangan peralihan kerajaan dan pembubaran parlimen, PH dengan majoriti kerusi 109, 119 atau 129 dan Muafakat Nasional dengan gabungan kekuatan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi bertemakan wacana “Kami sudah bersedia untuk PRU15”.
Gegaran dan gempita politik ini menyaksikan dua jaluran utama medan berita, Jaluran pertama laporan keselamatan negara dan PKP oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kedua, laporan Covid-19 (C-19) Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang seakan tenggelam timbul kecuali berita menggemparkan.
Jaluran kedua berlegar di sekitar politik yang rancak dengan isu demi isu di atas umpama rempah ratus lauk pauk dan `gulai’ dalam nasi kandar namun semua yang dikandarkan itu berselindung di sebalik pelitup muka C-19.
Itulah Kovidtokrasi, politik belakang tabir. Ada yang menyebutnya dengan politik tebuk atap, kerajaan pintu belakang atau dikaitkan dengan Langkah Sheraton. Daripada bermulanya pengambilalihan kerajaan berikutan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada hasil gabungan geng 11 (tinggal 10 Baru Bian telah meninggalkan PKR) PKR, geng Parti Bersatu dan Muafakat Nasional yang telah diikat dalam sebuah ikatan peringkat nasional.
Di samping virus korona menyerang rakyat, Kovidtokrasi juga diselitkan dengan virus khianat mengkhianati, opportunis kemaruk kuasa yang mencanai kuasa di celah pelitup C-19.
Di samping virus korona menyerang rakyat, Kovidtokrasi juga diselitkan dengan virus khianat mengkhianati, opportunis kemaruk kuasa yang mencanai kuasa di celah pelitup C-19.
Kovidtokrasi telah merungkaikan penguasaan PH di kebanyakan negeri di Semenanjung terkini di Kedah. Pembelotan, pertualangan dan pelacuran yang banyak berlaku semua dikandarkan, dengan pelbagai ciri ramuan Empat P – Pembelotan, Pertualangan, Pelacuran dan Pengkhianatan dalam Kovidtokrasi.
Keghairahan Tan Sri Muhyiddin Yassin merebut peluang terbaik menjadi perdana menteri dengan pelan pelitup muka di sebalik Kovidokrasi untuk keluar dari PH. Beliau bersama geng-11 telah berkomplot membentuk sebuah kerajaan PN. Seperti virus korona yang tidak mengenal adab atau etika terus merempuh begitu juga dengan PN yang mengenepikan aspek moral dan etika dalam tanggungjawab kepada rakyat, ia tidak menjadi perhitungan utama dalam konteks persaingan politik, khususnya berhubung dengan analisis tingkah laku politik.
Itulah pasca realiti C-19, Kovidtokrasi telah menzahirkan pijakan atau asas realiti melampau yang membawa sang kuasawan ke dalam sebuah panorama ekstrem iaitu situasi yang di dalamnya segala sesuatu berkembang, tumbuh dan membiak tanpa kendali serta dengan kecepatan tinggi sehingga melewati segala batas yang tidak seharus ia lewati. Bagaimana virus korona menyerang tubuh manusia sehingga menzahirkan tingkah laku resam baharu, begitu juga dengan Kovidtokrasi.
Kovidtokrasi telah bergerak ke arah demokrasi melampau, aksi berselindung di sebalik pelitup atau topeng C-19 dengan langkah melampau, maklumat melampau, kemaruk kuasa yang melampau, komunikasi melampau hinggakan rasuah kuasa melampau, dalam setiap hal segala sesuatu telah berlumba melewati batas-batas normal demokrasi, dirasuki oleh pasca-normal dalam resam baharu.
Ketika segala sesuatu tidak lagi memiliki asas pijakan sama ada moral, adab, tradisi sebagai asas berdiri dan bertumpu, rasukan Kovidtokrasi telah meninggalkan alam normalnya, menyalahi logika, meninggalkan identiti, maka yang akan berlaku ialah proses perkembangan dan pertumbuhan paradoksikal: pertumbuhan sekaligus penghancuran diri dan komuniti politik, disebabkan runtuhnya skturktur yang membangun dunia kehidupan politik normal serta hilang kesimbangan dunia tersebut, kerana sudah tiadanya tiang seri atau penyangga (moral, etika, adab, kerohanian, sosial dam budaya) berpacak.
Namun prinsip yang bertali dengan kehendak moral, sukar untuk dipertahankan apabila terdapatnya pertembungan kepentingan hasrat politik.
Proses moral tidak mungkin dapat mengekang hasrat dan cita-cita politik individu, memandangkan individu dalam penentuan pembuatan keputusan politik sememangnya tidak mempunyai tahap kestabilan psikologi yang tinggi dan kecenderungan penilaian rasionaliti yang rendah, mendorong kepada kemungkinan wujudnya pelanggaran secara sengaja terhadap prinsip moral dan sistem etika demokrasi.
Realitinya demokrasi telah meletakkan sistem moral dalam kerangka aksi tindakan politik, sebagaimana dalam operasi kapitalisme, berdasarkan apa yang ditegaskan Adam Smith, lewat tulisannya melalui “theory of moral judgement.”
Sistem moral seharusnya menjadi pola proses pelaksanaan keputasan politik, namun timbul persoalan berkaitan dengan bagaimana sistem moral itu didefinisi atau ditakrifkam. Keadaan ini menimbulkam suasana yang kurang tenteram dalam operasi politik demokrasi.
Kemelut politik pada Februari lalu telah mengubah lanskap politik negara apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa tidak sampai sepenggal, tumbang.
Ini membawa kepada pensejajaran semula gabungan parti politik baru, keadaan itu juga berpunca daripada tindakan ahli-ahli politik yang melompat parti.
Sebenarnya pemikiran atau impian mahu menjadi dominan dan pemegang kuasa mutlak seperti kedudukan Umno dalam BN dahulu adalah budaya politik lama yang sukar untuk dihakiskan dalam bekas ahli politik Umno dalam Bersatu. Wawasan politik Muhyiddin pula adalah “embedded” berada dalam sistem politik corak lama dengan kepercayaan lapuk warisan regim terdahulu yang sudah ditolak rakyat.
Corak pemerintahan tidak lagi daripada pemberian habuan, walaupun terbuka tetapi masih berselindung dalam Kovidtokrasi, di tengah kerajaan PN melalui jalur pertama sedang memerangi C-19, percaturan politik mengukuhkan PN juga rancak dengan pemberian jawatan GLC kepada ahli parlimen Umno, Pas, dan sekutu mereka.
Virus-virus merosak Kovidtokrasi yang menular melalui lima proses PKP, PKPD, PKPB dan sekarang PKPP yang sedang menuju ke arah titik akhir bencana politik dengan pembubaran parlimen pula.
Apabila Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu, politik krono (politik waktu ) menjadi sebagai mendesak. Itulah sebabnya kenapa Tun Mahathir, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan geng-gengnya telah “mencemar duli” mengunjungi ibu pejabat PKR buat pertama kalinya. Ini menunjukkan proses peralihan kuasa harus disegerakan
Musa Aman tentu akan menyusunkan strategi mengukuhkan semula kedudukan Umno di Sabab dan bersiap sedia berhadapan dengan segala kemungkinan seperti PKU-15 misalnya. Kovidtokrasi yang tanpa asas, tiang seri kerap berlari, situasi apungan ke sana kemari tanpa kendali dan mengarah, suatu keadaan perkembangan politik negara menuju ke arah bentuknya yang melampau dirinya sendiri.
Keadaan ini pasca realiti atau realiti melampau ini diperkukuhkan oleh media sosial, realiti tiruan yang melampau rujukan sendiri kepada dunia sebenar sehingga mencetuskan situasi matinya realiti.
Sekiranya situasi Kovidtokrasi itu sedang menujuk ke arah ekstrem, kita akan berhadapan dengan situasi Kovidtopolis. Adakah kita hidup dalam kondisi dystopia. Banyak juga filem dan novel dystopia yang ditonton dan dibaca seperti novel George Orwell dan filemmnya 1984, iaitu kehidupan dunia Panoptikon (konsep Jeremy Bentam mengenai penjara di mana pengurusan boleh memantau dan memerhati apa yang dilakukan banduan dalam penjara kaca tetapi banduan tidak dapat melihat contohnya CCTV yang dipasang di merata-rata tempat sekarang), Margaret Atwood dengan “The Handmaid;s Tale atau Netflix dengan filem “Ourtbreak”, “12 Monkeys”, “The Giver” dan “The 100” yang mencirikan wabak atau pandemik sebagai kondisi dystopia.
Imej-imej menakut dan menggusarkan seperti taman, tempat hiburan dan bandar yang kosong, binatang liar berkeliaran di jalan-jalan, beratur hendak membeli makanan seolah-olah memperlihatkan suasana dystopia. Mungkin apa yang kita tonton dan gambarkan secara konseptual atau melalui paparan filem agak keterlauan tetapi walaupun keadaannya wujud tidaklah menggerunkan.
Persoalan yang difikirkan ialah sejauh manakah pengendalian kerajaan dalam situasi krisis dan pandemik ini? Adakah ia bersikap panoptikon, mengambil kesempatan pandemik C-19 untuk terus berkuasa secara autoritarian dengan menafi dan melemahkan hak pembangkang untuk bersuara dan inilah dinamakan Kovidtopolis. Sejauhmanakah ia merangkumi dystopia walaupun tidak mencirikannya.
Takrif dystopia sebenarnya adalah bersifat dan bersikap politik. Ia mungkin direalitikan dalam filem dan novel dengan suasana muram, sepi,gerun dan menakutkan; dan biasa ia adalah amaran atau petanda bagaimana sesebuah kerajaan mengendaikan diri dalam situasi krisis, pandemik dan PKP misalnya.
Situasi dystopia adalah fiksional tetapi tingkah laku kerajaan boleh dicirikan sebagai “dystopia” dalam situasi tertentu. Dalam mentakrifkan dystopia bagaimana dapat dikaitkan situasi PKP, PKPD, PKPB, PKPP sebagai mencirikan sebuah tadbir urus yang baik oleh sesebuah kerajaan seperti PN. Adakah pemaksaan rakyat supaya mematuhi SOP demi memutuskan rantaian C-19 dapat dianggap sebagai mencirikan dystopia.
Tadbir urus kerajaan yang baik dikonsepsikan sebagai “pemaksaan sah” di mana peraturan yang diperkenalkan akan membuatkan rakyat bersetuju untuk mematuhi (walaupun tidak selesa dan tidak rela) supaya keamanan dan kesejahteraaan dapat dikawal misalnya dalam perjarakan sosial tetapi membawa kesan kepada pekerjaan dan ekonomi negara.
Tiada kerajaan yang sempurna tetapi ada caranya mengukur ketidaksempuraan itu. Kerajaan dengan tadbir urus yang baik termasuklah memiliki elemen-elemen demokratik yang telus bagi membolehkan sesebuah kerajaan itu dinilai pertanggungjawabannya.
Terdapat juga kerajaan yang mengambil kesempatan daripada PKP atau lockdown untuk bersifat autoritarian dan ketiadaan semak dan imbang oleh pihak pembangkang.
Sejauh manakah pakej rangsangan ekonomi dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bernilai RM295 bilion yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaparkan suatu tadbir urus yang baik. Di manakah keabsahannya? Adakah ini merupakan suatu situasi Kovidtopolis, kerajaan memutlakkan kuasanya dengan alasan keadaan darurat demi kesejahteraan rakyat?
Pada 27 Mac, pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM25 bilion telah dibentangkan Muhyiddin sebagai sebagai bantuan one-off untuk meringankan beban kewangan rakyat daripada golongan berpendapatan rendah.
Pakej rangsangan ekonomi kali kedua berjumlah RM10 bilion telah diungkapkan Muhyiddin pada 6 April sebagai subsidi gaji bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mengekalkan para pekerja mereka.
Terbaru, pada 5 Jun buat kali ketiganya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin telah membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion. Semua pakej rangsangan ekonomi dan Penjana ini menelan belanja sebanyak RM295 bilion bertujuan baik untuk negara dan rakyat tetapi bagaimanakah caranya.
Di sini yang dikatakan Kovidtopolis dengan ciri dystopianya. Malaysia adalah sebuah negara yang bergerak atas lunas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Walaupun penujuannya baik namun kesahannya bagi kedaulatan kerajaan PN. Adakah ini dinamakan matalamat menghalalakan cara. Di manakah kelulusan parlimen dan apakah erti sebuah negara mengamalkan monarki berperlembagaan jika sesuatu perancangan tidak melalui proses parlimen?
Bagaimanan hendak membetangkan bajet 2021 jika keadaan parlimen tidak diuruskan, dan dapatkan bajet dibentangkan jika kedudukan kerusi parlimen PN goyak?
Kerajaan PN telah mengabaikan dewan rakyat apabila mengadakan sidang Parlimen pada 18 Mei dengan hanya mendengar titah Yang DiPertuan Agong sahaja. Kerajaan PN telah bertindak mengamalkan konsep Kovidtopolis, dengan kesempatan PKP dan PKPB menggunakan kuasa wewenang untuk memerintah negara sehingga sanggup mengabaikan prinsip demokrasi berperlembagaan, sekali gus mengabaikan keperluan rakyat dalam menghadapi wabak COVID-19.
PN sepatutnya menggunakan sidang Parlimen untuk menunjukkan kedaulatan rakyat dalam menangani krisis ekonomi ketika ini dan bersikap lebih terbuka terhadap cadangan semua pihak.
Dengan menggunakan dasar Kovidtopolis adakah Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin sebuah kerajaan yang sah yang boleh membelanjakan sejumlah wang negara berjumlah RM295 bilion tanpa diluluskan oleh Parlimen? Ia sepatutnya dibahas di Parlimen supaya pakej rangsangan tersebut boleh diteliti, dibahas dan diluluskan.
Ada hujah yang menyatakan Muhyiddin adalah perdana menteri yang sah kerana pada 1 Mac 2020 beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.
Hujah tersebut benar hanya setakat isu pelantikan perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a). Tetapi dengan PKP, kerajaan PN dikatakan tidak dapat melaksanakan prosiding Dewan Rakyat. Benarkan hujah tersebut? Atau adakah ia berkaitan dengan jumlah sokongan majoriti yang tidak mencukupi di Dewan Rakyat.
Oleh itu wayang-wayang politik akan terus berselindung di sebalik Kovidtokrasi dengan kerajaan PN terus mengamalkan polisi Kovidtopolis?
* Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).