Tidak benar DAP, Amanah setuju Shafie calon PM
Kenyataan Tun Mahathir bahawa DAP dan Amanah bersetuju dengan pencalonan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus amat mengelirukan.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua ketua parti, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu petang ini menjelaskan cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan parti serta dibawa ke mesyuarat PH terlebih dahulu.
“Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen (pilihan) baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Walau bagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama,” kata mereka .
Terdahulu, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa pertemuan pada Khamis lalu, beliau, Mohamad, Lim, Shafie, dan pemimpin DAP yang lain bersetuju untuk mencalonkan presiden Warisan itu sebagai perdana menteri.
Perkembangan ini hadir ketika PH terus berada dalam kebuntuan berhubung calon perdana menteri dalam usaha mengambil alih semula kerajaan pusat, dengan PKR yang menolak Mahathir dan menegaskan Anwar sebagai calon perdana menteri.
Ketika dihubungi, pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Mohamad telah memberitahu pihaknya pagi ini bahawa akan diadakan pertemuan untuk membincangkan perkara itu.
Ditanya mengenai pendapat peribadinya mengenai cadangan mencalonkan Shafie sebagai perdana menteri, Khalid berkata, kebuntuan tidak menguntungkan siapa pun.
“Kita mesti mencari jalan untuk menyelesaikannya, jadi apa sahaja cadangan mesti dipertimbangkan, dan mungkin kita mesti menetapkan syarat dan apa sahaja.
“Kita mesti mencari jalan keluar,” katanya dipetik Malaysiakini.