Setelah terpecat daripada Bersatu, Tun Mahathir Mohamad ketika ini adalah pemimpin yang tidak mempunyai parti.
Kedudukan beliau di Parlimen ialah sebagai Ahli Parlimen Bebas bersama empat lagi pemimpin Bersatu yang turut terpecat bersamanya.
Salah satu tujuan Tun Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri semula adalah untuk mendapatkan balik Bersatu yang mana parti itu telah diasaskan penubuhan olehnya bersama beberapa yang lain, termasuk Muhyiddin Yassin.
Namun, melihat usahanya untuk kembali berkuasa ketika ini masih tidak menentu, bermakna selagi Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, laluan tetap sukar bagi Tun Mahathir untuk mendapatkan balik Bersatu.
Tambahan lagi, Setiausaha Agung Bersatu lantikan Muhyiddin adalah juga Menteri Dalam Negeri yang mana Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS adalah dibawah pengawasannya.
Ini menjadikan, apa pun usaha Tun Mahathir untuk mengambil balik Bersatu kembali ke dalam pangkuannya, kalau pun tidak mustahil, tetapi laluannya penuh liku dan dipenuhi duri-duri tajam sebagai penghalangnya.
Lalu, apa pilihan Tun Mahathir, terutama kiranya Muhyiddin mungkin mengadakan pilihanraya awal secara mengejut?
Berjuang dalam dunia politik tanpa parti dan tanpa jawatan adalah suatu perjuangan yang tidak nampak ada kejayaan di hadapan.
Parti dan jawatan adalah dua aspek yang tidak boleh diabaikan jika seseorang mahu memburu kuasa, tak kisah sama ada untuk kali yang pertama atau ketiga.
Tun Mahathir sendirinya tentunya sedar hakikat itu, sebab itu selepas keluar UMNO, beliau mengambil langkah menubuhkan Bersatu bersama Muhyiddin sebagai jalan untuk menumbangkan UMMO dan BN.
Untuk itu, demi mengharungi cabaran mendatangnya, amatlah sukar untuk Tun Mahathir bergerak lebih jauh jika beliau kekal seperti sekarang tanpa ada parti menaunginya.
Buat sementara ini, dalam kedudukan dirinya sudah terpecat dan untuk mendapatkan balik Bersatu bukan suatu perkara yang mudah, kecuali jika dirinya dapat jadi Perdana Menteri semula, adalah lebih baik beliau lupakan Bersatu dahulu.
Tun Mahathir perlu segera menubuhkan sebuah parti baru untuk beliau meneruskan perjuangan sama ada untuk menjatuhkan Muhyiddin atau mengejar impian menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga dan dalam waktu yang sama bagi tujuan menghimpunkan para penyokongnya.
Sekarang ini para penyokong beliau masih berada dalam Bersatu dan sebahagian mereka juga mungkin jenis yang bermuka-muka – siang menyokongnya tapi sebelah malam menyokong Muhyiddin pula.
Tanpa parti, bukan saja menyulitkan Tun Mahathir untuk meneruskan langkah perjuangannya, malah juga menimbulkan kesulitan untuknya bertanding semula dalam pilihanraya jika Muhyiddin mengambil keputusan membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat ini.
Oleh kerana beliau bukan lagi ahli Bersatu, Tun Mahathir tidak berhak lagi bertanding atas nama parti itu atau menggunakan logo Bersatu.
Kuasa menandatangani watikah calon untuk bertanding dalam pilihanraya berada di tangan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu.
Muhyiddin bukan saja mustahil akan menandatangani watikah calon untuk Tun Mahathir dan mereka yang sudah terpecat daripada Bersatu, tetapi juga pasti tidak memilih mereka yang dikenali sebagai penyokongnya sebagai calon pilihanraya.
Di waktu yang sama, untuk Tun Mahathir bertanding atas tiket PH turut tidak nampak jalan jika perbalahannya dengan Anwar dalam soal menentukan calon Perdana Menteri bagi gabungan itu terus menemui jalan buntu dan gagal diselesaikan.
Sifirnya mudah, kalau Anwar tetap enggan bersetuju memberi laluan kepada Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, sudah tentu beliau selaku Pengerusi PH juga keberatan untuk menandatangani watikah calon buat Ahli Parlimen Langkawi untuk bertanding dalam pilihanraya.
Maka, Tun Mahathir mahu bertanding atas tiket dan logo apa dalam pilihanraya secara mengejut nanti?
Hanya dengan menubuhkan sebuah parti baru saja merupakan jalan penyelesaiannya, lagi pun dengan rekod selama hampir 24 tahun sebagai Perdana Menteri dan anak-anaknya kaya raya belaka, menubuh, membiayai dan menggerakkan sebuah parti baru tentulah bukan masalah besar untuk Tun Mahathir.
Kalau ingin meniru Azmin Ali yang disebut-sebut telah mendaftar Parti Keadilan Negara, Tun Mahathir mungkin boleh memilih nama Parti Bersatu Negara sebagai parti barunya atau susah-susah daftar saja atas nama Parti Berdua sebagai tanda ia serpihan kepada Bersatu.
Kadang-kadang kesian juga melihat penyokong Tun Mahathir bersepah-sepah dan berterabur di sana sini tanpa sebarang naungan parti memayungi perjuangan mereka.
Kalau parti pun tiada, nak berjuang apa? ( Shahbudindotcom 23/06/2020)