POLITIK
June 15, 2020
Dalam seminggu dua ini dan minggu-minggu mendatang adalah saat yang sangat menarik, mendebarkan malah mungkin ‘menaikkan darah’ orang-orang politik dan rakyat sendiri.
Sebagai seorang Wakil Rakyat daripada UMNO saya secara peribadi sangat bersyukur apabila 46 pertuduhan terhadap YB Tan Sri Musa Aman telah digugurkan atas sebab ketiadaan bukti kukuh malah rekaan semata-mata.
Bertitik tolak daripada itu, situasi politik Sabah telah dan akan terus memperlihatkan perkembangan-perkembangan penting dalam sejarah Sabah. Saya menjangkakan Parti Warisan akan dilanda kemelut yang amat dahsyat sekali sepanjang sejarah penubuhannya. Ini disebabkan perbuatan dan kerosakan ciptaan pemimpinnya sendiri atau apa yang dipanggil sebagai ‘self destruction’!.
Saya tidak menolak kemungkinan episod ini akan bertambah hebat apabila para Wakil Rakyat Warisan khabarnya akan berbondong mencari rumah baru kerana rumah sekarang atapnya mula bocor dan tiangnya mula reput. Apa-apa pun, tahniah saya ucapkan kerana anda adalah ‘Wira Rakyat Sebenar’ dan bijak membawa haluan demi rakyat dan negeri tercinta?
Ironinya, Shafie Apdal ‘melalak’ sana sini mencanang seolah-olah Wakil Rakyat Warisan telah dibeli oleh pihak tertentu sedangkan pada masa yang sama beliau cukup yakin bahawa kesemua Wakil Rakyat nya sangat berintegriti tinggi. Kalau benar mereka ini memang berintegriti tinggi kenapa harus bimbang dan khuatir kesetiaan mereka?
Nanti, jika benar berlaku episod ‘lompatan keramat’ ini saya tidak sanggup mendengar pula Shafie Apdal akan mengecam dan melabel mereka sebagai ‘pengkhianat’!. Carilah istilah yang lebih ngam agar nanti pelabelan itu tidak kena pada diri sendiri pula. Kan dulu beliau sendiri yang menggunakan khidmat mereka-mereka itu ketika menubuhkan kerajaan negeri. Tiada seorang pun rakyat Sabah akan menafikan fakta ini.!
Akhirnya, apa kabar semua YB-YB Warisan dan sekutunya? Saya doakan agar anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat selalu. Kuatkan iman dan kuatkan mental semoga semuanya baik2 saja ya.!
Mohamad Alamin
MP Kimanis
C/p