"PH DAN PH PLUS : MENARIK RAMBUT DALAM TEPUNG?"NAK LAWAN KA NAK KAWAN DENGAN MAHATHIR?






Nak lawan ke nak kawan dengan Tun M, tanya Khalid kepada penyokong PH


Para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) diminta membuat keputusan segera untuk menukar kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau terus kekal sebagai pembangkang.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, keputusan ini perlu dibuat kerana semakin lama mereka berbalah antara satu sama lain untuk menentukan siapa bakal perdana menteri, semakin selesa kedudukan kerajaan yang mereka dakwa dibentuk dari pintu belakang ini.
“Kena buat keputusan segera, nak berkawan (dengan Tun Dr Mahathir) atau nak lawan. Kita kena buat keputusan segera,” kata Khalid dalam temuramah secara langsung dengan tv internet Jom Channel malam tadi.
Ini berikutan kecenderungan dari penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang yang menyerang Dr Mahathir dan bertegas mahukan Anwar sebagai calon PM.
Khalid menegasnya, semua parti dalam PH sepakat bahawa Anwar adalah calon Perdana Menteri mereka, namun jika tidak boleh buat masa sekarang, pilihan kedua adalah Tun Dr Mahathir dengan Anwar sebagai timbalan.
Khalid berkata, pilihan kedua itu adalah untuk membolehkan kerajaan PH dibentuk semula sebagaimana mandat rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.
“Kita cadang Tun Dr Mahathir untuk jadi PM selama enam bulan, selepas itu Anwar akan mengambil alih. Ini pilihan kedua yang kita persetujui dalam mesyuarat bersama,” kata Khalid dalam temubual itu.
Ekoran itu, Khalid mengaku para penyokong Anwar tidak bersetuju dengan pilihan kedua itu dan menyerang Tun Dr Mahathir.
“Saya tidak bersetuju dengan pendekatan ini. Kita hendak berkawan dengan semua, kenapa kita perlu serang orang yang kita nak berkawan,” kata Khalid.
Menurut Khalid, apa yang cuba dibuat adalah untuk mencukupkan bilangan penyokong di kalangan Ahli Parlimen untuk menukar kerajaan yang ada kepada PH kembali.
“Kita ada sekarang 107 sebagaimana dinyatakan Anwar. Kita perlukan sekurang-kurangnya 115, sebagaimana kerajaan PN dibentuk Muhyiddin. Kita harapkan, penyokong Tun Mahathir dalam Bersatu kembali balik sokong beliau jika beliau jadi PM dan cukupkan bilangan itu,” kata Khalid.
Beliau juga menjelas, cadangan Dr Mahathir hanya enam bulan dipersetujui secara sebulat suara dalam mesyuarat PH serta Warisan dan Tun Dr Mahathir sebelum ini.
“Dalam satu mesyuarat ada cadangan supaya Dr Mahathir kekal sebagai PM sehingga habis penggal namun Shafie sendiri bertegas agar persetujuan sebelum ini tidak dirombak balik.
“Sebelum Anwar marah, saya sendiri akan marah Tun, kata Shafie dalam mesyuarat itu,” beritahu Khalid.
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, beliau sendiri mencadangkan selepas Anwar mengambil alih sebagai PM, Tun Dr Mahathir perlu kekal dalam Kabinet kerana “Kita hendak berkawan bukan hendak berlawan.”
“Kita tidak boleh layan Tun sebagaimana Pak Lah dan Najib layan Tun dahulu,” kata Khalid.
Berhubung dengan pandangan penyokong Anwar lebih baik kekal sebagai pembangkang berbanding dengan menjadi kerajaan dengan Tun Mahathir sebagai PM, Khalid berkata, semua penyokong PH perlu mengikut sunnah Rasulullah dalam membuat sesuatu keputusan.
“Kita kena pilih yang terbaik dari pilihan yang ada. Ini berlaku dalam perjanjian Hudaibiyah sehingga para Sahabat Nabi membantahnya namun Nabi bersetuju dengan perjanjian itu hatta membuang nama Muhamad Rasulullah dengan nama Muhammad sahaja selepas dibantah oleh musuh Nabi,” kata Khalid.
Bagi Khalid, mengekalkan kerajaan PN yang ada lebih besar mudaratnya kepada PH dan rakyat berbanding dengan menjadi kerajaan dengan Tun Dr Mahathir adalah perdana menteri selama enam bulan sebelum diambil alih oleh Anwar.