Oleh: Muhammad Hafez Darwis
Usah mimpi Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan semula jika ia tidak kukuh. Tumbangnya Pakatan Harapan akibat daripada “Langkah Sheraton” adalah juga sebahagiannya kerana ia tidak cukup kukuh. Sebahagian lagi adalah kerana terdapat mereka yang menjual prinsip dan sanggup bersekongkol dengan perasuah.
Mengukuhkan Pakatan Harapan dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan, pro-kebajikan rakyat dan anti-rasuah adalah pra-syarat sama ada untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang diberikan pada PRU-14 yang lepas atau pun untuk menghadapi pilihanraya mengejut.
Malahan untuk menjadi pembangkang yang berkesan, berbisa dan menyengat pun memerlukan pengukuhan Pakatan Harapan. Justeru, mengukuhkan Pakatan Harapan adalah suatu agenda yang berterusan dan tidak boleh dihentikan.
Ini adalah asas, hakikat dan sifat politik Malaysia. Tidak ada parti politik dalam sejarah Malaysia memegang kuasa kerajaan pusat secara bersendirian. Semuanya adalah melalui kaedah membina wadah bersama. Sama ada dalam bentuk pakatan bersama, barisan bersama, muafakat bersama atau perikatan bersama. Kuncinya wajib bersama bukan bersendirian.
Bersama-sama memerangi rasuah, ketidakadilan dan kezaliman di dalam suatu wadah yang kukuh bukan yang runtuh. Dan Pakatan Harapan sebagai suatu wadah bersama perlu diperkukuhkan bukan diruntuhkan.
Keperluan untuk membina dan mengukuhkan wadah bersama adalah asas, hakikat dan sifat politik Malaysia yang masih belum berubah sehingga sekarang dan tak akan berubah untuk suatu jangka masa yang lama selagi wujudnya kerencaman etnik, agama, budaya, bahasa, wilayah kenegerian, ideologi dan kepelbagaian pandangan serta pendirian politik.
Ini yang perlu difahami dan dimasukkan ke dalam otak aktivis-aktivis parti komponen Pakatan Harapan yang dalam beberapa siri kenyataan peribadi mereka menggambarkan seolah-olah parti masing-masing boleh bergerak bersendirian tanpa memerlukan sokongan dari parti komponen yang lain. Kenyataan mereka ini adalah kenyataan yang naif dan kekanak-kanakan.
Ya memang mereka boleh bergerak bersendirian. Tapi bergerak ke mana? Ke kerusi pembangkang selama-lamanya? Kalau itu yang menjadi tujuan dan matlamat mereka, hanya dengan kerusi parlimen yang tidak sampai 50 pun daripada 222 kerusi, bagaimana mungkin mereka bisa menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan?
Pengukuhan Pakatan Harapan adalah agenda yang tidak boleh dikompromi sama ada tujuannya untuk mendapatkan kembali mandat rakyat pada PRU-14 yang telah dirompak atau untuk menjadi sekadar pembangkang yang berkesan selama-lamanya.
Tapi kalau tujuannya hanya sekadar untuk menjadi pembangkang selama-lamanya dan membiarkan parti-parti lain menjadi kerajaan, mungkin wadah NGO lebih sesuai buat mereka yang ingin bergerak bersendirian ini.
NGO tak perlu pening kepala bertarung dalam pilihanraya untuk menang kerusi. Tak perlu merajuk kalau tak dapat jadi calon pilihanraya. Tak perlu bertumbuk dalam pemilihan dalaman parti. Malahan jutaan wang ringgit pun tak perlu dikeluarkan untuk menjalankan kempen pilihanraya. Cukup sekadar membangkang sudah pun memenuhi kriteria semak dan imbang sebuah NGO. Buat mereka ini wadah NGO mungkin lebih sesuai.
Wadah bersama dalam sebuah pakatan parti politik tentunya lebih rumit. Membina sebuah wadah bersama yang terdiri daripada pelbagai parti dengan pelbagai karenah, pelbagai kepentingan dan pelbagai aliran pandangan memerlukan kehalusan, kecermatan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan kelunakan di dalam memastikan kerjasama yang dijalinkan itu terus mengukuh. Ini adalah suatu kerja seni.
Seni membina dan menjambatani kepelbagaian yang ada untuk membentuk suatu pakatan yang utuh. Bukan meruntuh. Meruntuh jambatan yang sudah dibina adalah kerja mudah. Membina mengambil masa yang lama dan tenaga yang banyak. Sekali sudah runtuh, untuk membina semula bukanlah kerja yang mudah.
Justeru, tindakan beberapa aktivis parti komponen di dalam Pakatan Harapan yang mengeluarkan kenyataan yang tidak halus, tidak cermat dan bercanggah pula antara satu sama lain di ruang awam adalah resepi mudah untuk meruntuhkan jambatan yang telah dibina itu.
Kebebasan bersuara individu di dalam sebuah parti politik perlu diimbangi oleh kebertanggungjawaban untuk memastikan jambatan yang dibina dan wadah yang telah dibentuk bersama itu terus kukuh dan utuh.
Ini adalah suatu kemestian jika sekiranya Pakatan Harapan benar-benar serius dalam usaha mereka untuk mendapatkan kembali mandat rakyat dari PRU-14 yang dirompak atau pun sebagai persediaan untuk menghadapi pilihanraya mengejut.
Akan tetapi kita semua sedia maklumi usaha pengukuhan ini tersekat di titik paling rumit dan kusut iaitu berhubung dengan isu - siapa yang lebih strategik untuk diangkat menjadi PM Malaysia di dalam usaha untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang telah dirompak daripada PRU-14 yang lalu?
Kekusutan persoalan siapa yang akan menjadi PM ini tak akan selesai jika sekiranya wujud serang-menyerang antara parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan. Musuh Pakatan Harapan sama ada yang di luar atau di dalam parti sendiri memang menunggu “bola tanggung” seperti ini untuk terus mengadu-domba mendorong agar berlakunya perpecahan. Kalau Pakatan Harapan pecah siapa yang untung?
Bergerak bersendirian bukanlah jalan untuk mengalahkan Perikatan Nasional. Bergerak bersendirian juga bukan alternatif untuk menjadi pembangkang yang berkesan.
Justeru itu, Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan, pro-kebajikan rakyat dan anti-rasuah. Manakala persoalan siapa yang akan menjadi PM, sama ada Mahathir atau Anwar perlu terus dibuka dan dibahaskan sehinggalah suatu kesepakatan bersama dicapai dan dituntaskan di dalam Pakatan Harapan bersama-sama Pakatan Harapan Plus.
Sehingga kini keputusannya masih belum benar-benar tuntas dan tersekat pada persoalan siapa yang akan menjadi PM - Mahathir atau Anwar?
Mungkin soalan yang lebih membantu untuk menguraikan kekusutan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertamanya siapakah yang lebih berkemungkinan untuk memperolehi sokongan majoriti daripada anggota parlimen pada sidang parlimen 13 Julai nanti - Anwar atau Mahathir?
Soalan pertama ini menumpukan kepada kaedah mendapatkan kembali mandat rakyat melalui jalan undi tidak percaya di sidang parlimen terhadap Muhyiddin Yassin. Sosok yang dipercayai boleh mendapat jumlah anggota parlimen yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional, maka sosok itulah yang seharusnya dipilih untuk menjadi PM mengikut syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.
Manakala soalan kedua pula lebih menumpukan kepada kaedah memperolehi kembali mandat rakyat melalui jalan pilihanraya mengejut (jika sekiranya berlaku). Untuk soalan kedua ini yang lebih penting adalah siapakah antara Mahathir dan Anwar yang lebih berkemungkinan untuk mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi di seluruh Malaysia jika dipilih menjadi PM untuk menerajui Pakatan Harapan atau Pakatan Harapan Plus?
Jawapan kepada persoalan ini tentunya memerlukan semacam penyelidikan atau kajian impirikal yang akan memperlihatkan siapa yang lebih layak dipilih sebagai PM - Mahathir atau Anwar? Atau mungkin sahaja ada calon lain dari kepimpinan Pakatan Harapan dan Pakatan Harapan Plus yang lebih diterima oleh pengundi-pengundi Malaysia selain daripada Mahathir dan Anwar.
Walau apa pun jawapan kepada kedua-dua soalan ini perkara yang paling mustahak dan menjadi asas kepada kekuatan Pakatan Harapan dalam persaingannya sama ada untuk mendapatkan kembali mandat rakyat menerusi undi tak percaya kepada Muhyiddin atau menghadapi pilihanraya mengejut ialah - Pakatan Harapan wajib diperkukuhkan.
Dan naratif yang seharusnya menjadi semacam panduan dan pegangan kepada aktivis-aktivis Pakatan Harapan adalah memperkukuhkan Pakatan Harapan dan bersama-sama Pakatan Harapan Plus untuk terus membuka ruang bagi mencari kesepakatan bersama buat mendapatkan kembali mandat rakyat di PRU-14 yang telah dirompak oleh Perikatan Nasional.
Itu naratifnya. Mengukuhkan bukan meruntuhkan.