Perbincangan pembentukan kerajaan PH Plus masih dibuka
Penolakan KEADILAN mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-9 oleh KEADILAN tempoh hari bukan bermakna tamatnya rundingan pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Plus.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu masih komited kepada agenda mengembalikan mandat rakyat 9 Mei 2018 yang dirompak di pertengahan jalan oleh Perikatan Nasional (PN).
Namun begitu, kata beliau, pembentukan kerajaan baharu haruslah melalui proses yang bermaruah. Bukan sebagaimana yang dilakukan oleh PN dengan memperdagangkan Ahli Parlimen.
“Kita masih terus berusaha untuk mendapatkan dukungan. Bukan dengan membeli, bukan mengugut, bukan janji bagi GLC. Kita janji, kita penuhi mandat pada rakyat.
“Kita tidak mahu Ahli Parlimen dianggap barang dagang untuk dijual beli. Kita harap dapat menarik minat Ahli Parlimen dari semua pihak untuk menyelamatkan negara dan membaiki ekonomi,” katanya dalam sesi siaran langsung Facebook malam tadi.
Anwar sebagai pengerusi PH juga berkata, gabungan itu akan terus bekerjasama dengan Warisan serta paksi Bersatu Tun Mahathir pada masa hadapan. KEADILAN turut menolak tanggapan umum bahawa parti tersebut tidak lagi berminat membentuk kerajaan dan mahu kekal sebagai Pembangkang.
Selain itu, Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkongsi sedikit perjalanan rundingan calon Perdana Menteri sehingga menemui jalan buntu pada minggu lalu.
Katanya, formula pertama menetapkan beliau sebagai PM. Namun formula itu belum menemukan angka secukupnya untuk membentuk kerajaan maka rakan-rakan mencadangkan formula baharu.
“Formula kedua yang dicadangkan kawan-kawan, saya terpaksa beri pertimbangan. Sementara Tun dilantik sebagai PM, saya diberi jawatan TPM di bawah beliau. Saya hadapi kesukaran yang maha besar untuk menanggung (bekerja di bawah Tun Mahathir). Saya bergurau dengan kawan-kawan, ‘nak suruh saya derita berapa lama lagi, sudahlah’
“Ada sedikit kebuntuan. Namun persoalan (utama) adakah PH bersama Tun, bersama Warisan, haruskah bekerjasama? Jawabnya, harus bekerjasama,” kata Anwar tegas.
Anwar menyudahi sesi Facebook beliau dengan harapan pelbagai kemungkinan yang boleh diteroka sekiranya rakan-rakan seperjuangan PH bertekad mahu membentuk kerajaan baharu.
“Adakah ini bermakna kita tidak boleh bincang. Tidak benar. Kita dalam semangat PH kalau kawan-kawan merasa sangat mendesak untuk membuka perbincangan, kita boleh.
“Tetapi saya ingin tegaskan soal alternatif yang kedua (pilihan menjadi TPM) bukan sahaja melibatkan keputusan umum tetapi keputusan tidak langsung yang akan memaksa saya sekali lagi bersekongkol.
“Dan saya rasa amat sukar bagi seorang manusia biasa yang kerdil untuk sekali lagi dianggap, dihina dengan kesilapan yang sama (polisi tidak pro rakyat) berulang kali. Itu kerja yang sukar saya pertahankan,” katanya lagi.