Mengapa tiada bantuan Aidilfitri kerajaan Perak buat imam, bilal?
Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menggesa Kerajaan Negeri Perak menilai kembali pemberian Bantuan Khas Aidilfitri yang tidak diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih, Pekerja Sambilan Harian, Guru Tadika Islam Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Imam dan juga Bilal Masjid seluruh Negeri Perak walaupun sudah lebih seminggu Hari Raya Aidilfitri berlalu.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata bantuan kahs wajar diberi memandangkan mereka juga turut membantu kerajaan dan terkesan akibat wabak Covid 19.
“Pengumuman Kerajaan Negeri Perak pada 20 Mei 2020 yang lalu semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak fasa dua hanya mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri ini kepada Penjawat Awam Negeri Perak sedangkan Guru Sandaran Tidak Terlatih, Pekerja Sambilan Harian, Guru Tadika Islam Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Imam dan Bilal Masjid juga terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Dan kepada Imam dan Bilal Masjid juga, mereka telah menjalankan tugas mereka semasa PKP apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Masjid berfungsi seperti biasa dengan syarat tiga orang sahaja dibenarkan melakukan Solat Jamaah setiap waktu dan setelah dibenarkan pula menunaikan Solat Jumaat secara terhad sebelum ini.
“AMANAH Perak ingin menyuarakan hasrat mereka yang dilihat terpinggir dan tidak dibela oleh mana-mana pihak dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Perak memberikan bantuan kewangan ini dengan segera serta pihak-pihak yang berkaitan sewajarnya mengangkat perkara ini lebih awal lagi sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.