Baru-baru ini kita ada dengar permohonan maaf dari Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH), ekoran daripada kelewatan sebuah keputusan.
Anwar juga memohon kesabaran semua pihak dan meminta supaya diberikan sedikit ruang dalam mencari penyelesaian terbaik.
Namun, atmosfera di media sosial berantakan bagai langit yang menanti rebah. Apakah kita sudah menjadi kurang penyabar dalam soal mengembalikan mandat rakyat, atau ada suatu keterdesakkan yang tidak mampu diungkap?
Menjadi seorang Anwar Ibrahim bukan mudah. Dengan izin, Anwar is too polite to reluctant. Dalam soal ini, keputusan yang akan diumum oleh Anwar bukanlah untuk dirinya. Ketetapan parti juga menjadi perkiraan.
Walaupun Anwar seorang Presiden, namun konsensus yang dibincangkan bersama 38 Ahli Parlimen PKR telah bertegas dan nekad menamakan hanya beliau sebagai Perdana Menteri.
Ia lantas membangkitkan dilema. Apakah wajar Anwar mengkhianatinya dengan menerima Tun sebagai PM dan dirinya sebagai TPM?
Ia lantas membangkitkan dilema. Apakah wajar Anwar mengkhianatinya dengan menerima Tun sebagai PM dan dirinya sebagai TPM?
Dalam perkembangan sama, YB Anthony Loke telah bersuara mewakili DAP dalam satu sesi temubual. Ada dua perkara yang ingin saya sentuh.
Pertama, Loke mendedahkan tempoh enam bulan Tun sebagai PM telah ditawarkan sendiri oleh Tun.
Jika anda berada dalam kasut Anwar, apakah anda akan percaya janji Tun setelah menyelusuri ayat-ayat yang disebut di akhir sebuah mesyuarat yang ketika itu Tun berkuasa;
“Don’t keep me to any term. I will decide. But I don’t have to tell you when. It may be one day before Parliament is dissolved.”
Perlu diingat, perwatakan Tun kadang-kala berbeza mengikut keadaan khususnya ketika dia berkuasa dan ketika dia sedang cuba mencari kuasa. Masih tidak lupa betapa lembutnya bicara sewaktu Tun menagih ‘pengorbanan’ Anwar di mahkamah beberapa tahun lalu.
Kedua, menurut Loke lagi, alasan bahawa ‘pilihan pertama’ (Anwar sebagai PM) tidak berjaya kerana telah ditolak oleh hanya Warisan dan Bersatu.
Ini bermakna ‘pilihan pertama’ mendapat sokongan tiga parti dengan 91 MP berbanding dua parti dengan 14 MP yang menolak. ‘Pilihan pertama’ mendapat sokongan yang besar walaupun dikatakan tidak berjaya.
Sekarang, fikirlah dengan teliti. Mengapa pula ‘pilihan kedua’ (Tun sebagai PM) digesa sedangkan ‘pilihan pertama’ mempunyai bilangan MP yang lebih tinggi. Jumlahnya ialah 3-2 (parti) dengan 91 berbalas 14 (MP), ia satu keputusan jelas.
Melainkan, sekiranya ‘pilihan pertama’ itu diputuskan 2-3 atau 1-4, atau pilihan pertama mendapat sokongan yang paling sedikit MP, maka barulah ‘pilihan kedua’ wajar dipertimbang. Jika benar jumlah MP paling berperanan, di sinilah logiknya.
Berbalik kepada soal pokok, Anwar seolah-olah dipaksa menerima ‘pilihan kedua’ dengan jawatan TPM sebagai pemudah cara.
Mungkin, saya katakan mungkin, akhirnya Anwar bersama parti PKR akan menerima ‘pilihan kedua’ tanpa sebarang keterlibatan diri beliau dalam Kabinet Tun.
Ia demi mengembalikan #MandatRakyat, demi menumbangkan ‘Kleptokrat Plus’ dan secara harfiahnya tidak mahu dituduh penyebab kegagalan ‘revival’ Pakatan Harapan sebagai kerajaan pusat.
Penerimaan itu hanya sekadar kemungkinan sahaja. Tidak menolak juga kemungkinan membenarkan Tun sekali lagi menjadi PM itu, umpama terlepas dari mulut singa dan masuk pula ke mulut naga.
Teringat saya al-kisah Puteri Gunung Ledang, yang menuntut tujuh dulang hati nyamuk sebagai hantaran, yang sebenarnya adalah satu penolakan.
*EDY NOOR REDUAN ialah pimpinan PKR Negeri Sembilan dan aktivis blogger.