MAHATHIR WAJAR DIPERSALAHKAN JIKA MANDAT PH TIDAK BERJAYA DIKEMBALIKAN



Sama ada Muhyiddin Yassin dapat dijatuhkan dan mandat rakyat berjaya dikembalikan semula kepada PH dalam waktu terdekat ini adalah persoalan yang mula membimbangkan semua orang.
Sementara pengundi yang memenangkan PH pada PRU14 lalu begitu berharap perkara itu menjadi kenyataan, pimpinan di blok pembangkang masih lagi bertelagah tanpa kesudahan.
Isunya cuma satu – siapa yang patut jadi Perdana Menteri.
Dari segi logik, oleh kerana PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah merupakan blok terbesar pembangkang, manakala Tun Mahathir Mohamad tidak lagi mempunyai parti serta Warisan bukan anggota rasmi PH, menetapkan calon Perdana Menteri sepatutnya bukan suatu perkara yang sukar.
Kalau pun kerjasama dengan Tun Mahathir dan Warisan dalam apa dikenali sebagai PH Plus perlu dilakukan, kedudukan asal PH tidak patut diketepikan atau dinombor-tigakan.
Ini tidak, Tun Mahathir tetap berkeras untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan mati-mati tidak mahu Anwar Ibrahim ada ruang sama sekali memegang jawatan itu.
Setelah namanya ditolak oleh PKR, Tun Mahathir sebaliknya mencalonkan Shafie Apdal daripada Warisan sebagai calon Perdana Menteri yang disokongnya.
Kenapa Tun Mahathir mengenepikan PH dalam soal ini, tetapi setelah namanya ditolak, telah memilih Shafie daripada Warisan yang hanya berada dalam gabungan PH Plus dan bukan anggota rasmi PH?
Mengapa timbul masalah dalam memilih calon Perdana Menteri adalah semata-mata kerana Tun Mahathir tetap merasakan beliau atau pilihannya saja yang layak untuk menjadi Perdana Menteri.
Seperti dalam sembahyang, memang dulu Tun Mahathir adalah “imam” dan semua “makmum” menyokongnya.
Tetapi, setelah terlucut kedudukan sebagai “imam” Tun Mahathir harus tahu untuk membawa dirinya sebagai “makmum” pula.
Sudah tentu masalah akan timbul apabila setiap kali hendak sembahyang berjemaah, Tun Mahathir akan terus menonjolkan dirinya sebagai “imam” atau berdiri terlebih dahulu di tempat imam.
Apabila tidak berparti dan secara automatik bukan anggota rasmi PH, Tun Mahathir seharusnya memberi sokongan penuh kepada gabungan itu yang telah mempunyai “imam baru”, jika benar beliau betul-betul ikhlas mahu mengembalikan semula mandat rakyat kepada PH.
Soal sama ada Anwar selaku “imam baru” cukup sokongan atau tidak, tidak harus timbul sebab setelah namanya dimuktamadkan nanti, beliau tentu saja mampu bergerak untuk mencukupkan angka yang diperlukan bagi mengembalikan PH sebagai kerajaan semula.
Dalam hal ini, Tun Mahathir harus segera berhenti berkelakuan seolah-olah beliau masih “imam” yang sah dalam blok pembangkang, sementara “imam baru” sudah pun dilantik.
Memang kerjasama semua pihak diperlukan untuk menumbangkan PN, terutamanya mereka yang bersama-sama menjatuhkan BN pada PRU14 lalu, tetapi semua itu hanya akan menjadi mudah jika Tun Mahathir sedia berubah.
Selagi Tun Mahathir dengan kepalanya sendiri dan mahu menjadi “imam” sehingga mati, selagi itulah soal menentukan calon Perdana Menteri akan menemui jalan buntu.
Sekaligus juga,!PH tidak akan berjaya menumbangkan PN, baik melalui pengumpulan SD atau melalui undi tidak percaya.
Walaupun usul undi tidak percaya dibawa oleh Tun Mahathir, beliau pasti akan lebih disanjung jika peranannya hanya setakat menjatuhkan Muhyiddin saja dan bukan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Setidak-tidaknya beliau dapat menebus semula perlakuannya yang dianggap sengaja melengah-lengahkan peralihan kuasa kepada Anwar di era PH berkuasa dan beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan sebelum ini.
Tindakan Tun Mahathir terus mahu menjadi “imam” dan enggan menjadi “makmum” hanya akan memberi ruang PN dapat berkuasa dengan lebih lama lagi dan usaha menjatuhkan Muhyiddin akan menemui kegagalan yang mudah.
Makanya, kalau bukan dia, siapa lagi yang wajar diletakkan beban kesalahan dalam hal ini? (Shahbudindotcom 29/06/2020)