*KOPERASI PERMODALAN FELDA RUGI RM 60 JUTA JUAL 17.6 JUTA UNIT SAHAM FGV. FGV PERLU KEMBALI KEPADA FELDA*



Mengejutkan apabila berita melalui laporan The Star, 10 Jun 2020, Koperasi Permodalan FELDA (KPF) milik peneroka, generasi dan kakitangan bukan lagi antara pemegang utama saham FGV Holding Berhad (FGV). Berita hanya dikeluarkan dalam edisi bahasa Inggeris dan tidak mendapat liputan akhbar berbahasa Melayu.

1. KPF pada mulanya memegang lebih kurang 5.8% dengan jumlah lebih 211 juta unit saham dan FELDA memegang 33% pegangan saham dalam FGV. Namun pegangan mula berkurangan pada 2017 melalui penjualan lebih 10 juta unit saham dengan pengurangan pegangan kepada 5.3%. The Star melaporkan hari ini, KPF hanya memegang 4.75% setelah menjual 17.6 juta saham pada awal bulan Jun 2020 dan kini bukan lagi sebagai pemegang utama dalam FGV.

2. Kiraan bagi jumlah penjualan saham pada RM 1.15 ini berbanding RM 4.55 harga belian, KPF kerugian RM 60 juta. Pada 2017, KPF boleh dikatakan mencatatkan kerugian menjual 5 juta saham FGV pada nilai RM12.5 juta. Mengikut kenyataan mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada 2017, FELDA mencatatkan RM 2 bilion rugi tidak nyata kerana kejatuhan harga saham FGV.

3. Tindakan ini dilihat tidak selari dengan hasrat warga FELDA melalui kenyataan wakil peneroka dan generasi Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP) yang  mahukan pegangan FELDA dan KPF  ditingkatkan kepada satu nilai sebagai pemegang terbesar dalam FGV. Ini bagi memastikan penguasaan ke atas FGV dapat menjamin objektif FGV yang sepatutnya memberi keuntungan kepada FELDA dan warganya sebagai pemegang taruh.

4. KPF dilihat begitu terdesak sehingga terpaksa menjual sebahagian sahamnya dalam FGV samada untuk membayar dividen yang berpatutan atau mencairkan aset bagi melabur ke sektor pelaburan yang lebih menguntungkan.

5. Prestasi FGV sejak 2013 melalui laporan kertas putih FELDA tidak memberangsangkan terus mencatatkan kerugian RM 163 juta bagi suku pertama 2020 dan RM 1.03 bilion pada 2018. Prestasi FGV telah memberi tekanan kepada pemegang utama saham dan keadaan memaksa untuk menjual bagi membolehkan cairan tunai hasil  dari penjualan boleh dilabur ke dalam pelaburan yang lebih baik.

6. Jalan keluar bagi masalah ini kini terletak pada bahu kerajaan dan Pengerusi baru FELDA. Ladang dan kilang perlu diserahkan semula kepada FELDA. FELDA Holding Berhad FHB telah menunjukkan prestasi yang baik sebelum ia disenaraikan ke bursa saham. FELDA dan peneroka perlukan pendapatan lebih baik dari ladang dan kilang yang dipegang oleh FGV.

*Ridhuan Esa*
24 Syawal 1441H
17 Jun 2020
Generasi Ke-2
FELDA Sungai Sibol
Generasi Ke-3
FELDA Bukit Serampang