Kerajaan PN tiada ‘exit strategy’ tangani pembuangan pekerja?
Oleh: Faiz Fadzil
ULASAN: Masalah pembuangan kerja warga tempatan hampir 1000 orang dalam perusahaan antarabangsa di Kuantan, Pahang seperti dilaporkan Sinar Harian semalam menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada ‘exit strategy’ dalam isu menangani isu penting ini. Apa yang lebih menyedihkan adalah kekosongan tempat mereka dikatakan oleh wakil pekerja bakal diisi warga asing. Lagi menyedihkan, pekerja ini diberikan notis pemberhentian 24 jam tanpa pampasan yang pasti akan menambah beban mereka menanggung kehidupan keluarga dan ini menekan kehidupan golongan marhain atau B40 yang rata-rata menanggung liabiliti hutang yang tak mampu dijelaskan.
Di samping itu, sudah lebih 30,000 pekerja tempatan industri perhotelan juga kehilangan kerja akibat penutupan hotel-hotel di negara ini kesan daripada wabak Covid-19. Dilaporkan banyak hotel-hotel yang sudah ditutup terutama destinasi pelancongan utama seperti Pulau Langkawi dan kerajaan tidak memberikan perhatian khusus menangani masalah ini. Kehilangan kerja ini sudah pasti memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.
Jangkaan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa seramai 2.4 juta warga tempatan bakal kehilangan kerja perlu dilihat secara serius oleh kerajaan PN. Kira-kira 67% melibatkan pekerja tidak mahir yang sudah pasti tergolong dalam B40 yang rata-rata sudah hidup dalam kesusahan. Persekutuan Majikan Malaysia ( MEF) juga menjangkakan lebih 2 juta rakyat bakal kehilangan kerja. Bulan Mac 2020 sahaja, bilangan penganggur naik sebanyak 85,300 orang atau 16.2% berbanding bulan Februari, kepada 610,500 penganggur. Bulan Mac hanya menyaksikan PKP untuk setengah bulan, tetapi kesannya terhadap sektor pekerjaan sangat ketara. Ini bermaksud angka pengangguran bulan April dan Mei akan lebih teruk akibat PKP yang lebih lama. Bukan itu sahaja, lebih kurang 70% daripada orang yang dibuang kerja setakat akhir Mac adalah B40 dan 28% daripada M40.
Subsidi gaji yang diperkenalkan menerusi pakej rangsangan ekonomi hanyalah sekitar 17% jumlah gaji yang dibayar oleh sektor swasta Malaysia. Ini pastinya tidak mencukupi dan tidak mampu mencegah para majikan membuang pekerja. Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia jauh ke belakang. UK memberi subsidi gaji sebanyak 80%, manakala Singapura, Perancis dan Kanada memberi subsidi gaji sehingga 75% daripada gaji pekerja. Insentif RM600 untuk pekerja yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi ternyata gagal membendung masalah ini.
Kajian Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 48% responden (perniagaan yang dikajiselidik) merasakan pakej rangsangan ekonomi kerajaan gagal mengurangkan beban perniagaan. 83.1% perniagaan telah mengatakan mereka masih perlukan bantuan kewangan atau subsidi daripada kerajaan, walaupun selepas pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan. Ini menunjukkan langkah kerajaan tidak mencukupi sama sekali. Apabila perniagaan tidak dibantu secara mencukupi untuk kekal beroperasi, maka sudah tentunya mereka akan memecat lebih ramai pekerja.
Malahan, kerajaan PN juga tidak menyediakan polisi bagi membantu golongan yang diberhentikan kerja seperti dana khas perniagaan kecil bagi menjana pendapatan mereka. Sebab itu, kegagalan kerajaan PN memberikan perhatian serius kepada industri PKS akan mengancam kehidupan rakyat. Walaupun sukar untuk memastikan semua perniagaan mengekekalkan pekerja mereka, namun apa yang membimbangkan, kekosongan ini dijangka diisi oleh warga asing dan ini bakal menambah masalah sosio ekonomi yang lebih kronik dalam negara. Kebanjiran warga asing lebih 6 juta di negara ini tidak akan berkurangan dan ini menunjukkan kelemahan ketara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menjadi Menteri Dalam Negeri.
Jelas pakej rangsangan ekonomi walaupun diumumkan bernilai RM260 bilion tidak dibentuk dengan tepat, di mana ia gagal mengelakkan pengangguran melonjak tinggi. Sebab itu, bantuan sebenar pakej ini kepada rakyat hanyalah bernilai RM35 bilion dan ini gagal menyelesaikan masalah utama rakyat ini. Sikap kerajaan PN yang lebih mementingkan agenda politik dengan perebutan jawatan dan kuasa di kalangan parti-parti komponen terutama Umno, Pas dan Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin telah melekakan mereka untuk bekerja bagi menangani masalah ini. Lantikan lebih 70 orang kabinet termasuk Duta Khas amat membazir wang rakyat sedangkan rakyat dipaksa mengikat perut tanpa punca pendapatan. Apa yang lebih teruk, rakyat kini melihat kabinet PN tidak berfungsi dan terperap di dalam gua kerana ketidakkompeten bekerja dan ketidakseriusan menjaga kebajikan rakyat.