Oleh SITI NUR ZAWANI MISCONJune 21, 2020
Aktivis Fahmi Reza mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tenaga Bank Nasional (TNB) ketika ini membayar dan mengupah pengguna Twitter untuk memuji inisiatif kerajaan.
Ia susulan aduan dan rungutan orang ramai kepada TNB ekoran bil elektrik yang dikatakan melambung dua kali ganda daripada biasa.
Dalam siri Twitternya, Fahmi berkata beberapa pengguna akaun Twitter menerima bayaran upah dengan disediakan skrip yang sama untuk digunakan.
“Cuba korang search “7.66 juta” di Twitter.
“Boleh nampak semua tweet berbayar pro-kerajaan dan pro-TNB, kena follow skrip dan sebut angka yang diberikan (7.66 juta). Dibayar untuk puji dan jilat pemerintah,” tulisnya.
Hasil carian Malaysia Dateline dengan menggunakan angka 7.66 juta, menemukan lebih 30 pengguna akaun yang menggunakan skrip hampir sama.
Melalui tweet yang dikatakan berbayar itu, masing-masing menyebut seramai 7.66 juta pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia akan menerima manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diumumkan kerajaan.
Pada semalam, kerajaan meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta kepada 7.66 juta pengguna elektrik dalam kategori domestik di semenanjung.
Hanya selepas isu kenaikan bil elektrik disebarkan di media sosial dan dipertikaikan orang ramai, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan untuk mengecualikan pembayaran bil untuk tempoh tiga bulan.