Kenyataan Media Bersama DAP dan AMANAH bertarikh 19 Jun 2020




1. Kami mengucapkan terima kasih kepada Parti Keadilan Rakyat atas kenyataan media yang dikeluarkan oleh mereka pada hari ini. Ia menjelaskan keputusan yang dibuat oleh Keadilan berhubung keadaan politik semasa, khususnya mengenai persoalan sama ada menerima atau tidak Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri untuk tempoh 6 bulan dalam usaha mengambil balik kerajaan yang telah dirampas melalui tindakan khianat.

2. Kami menghormati hak Keadilan untuk menetapkan keputusan mereka berhubung persoalan ini namun kami agak hairan dengan pendirian ini kerana pilihan ini telahpun diterima sebagai opsyen kedua dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei 2020 di Ibupejabat Keadilan.

3. Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa sekiranya opsyen pertama yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri tidak berjaya mendapat sokongan yang memungkinkan pengambilalihan kuasa dilakukan, maka opsyen kedua yang menamakan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri akan pula dikemukakan.

4. Setelah berusaha sedaya upaya atau "exhausting all efforts", kita mendapati bahawa opsyen pertama hanya mampu mendapat sokongan *maksima* 96 Ahli Parlimen, iaitu 91 dari Pakatan Harapan (38 PKR, 42 DAP Dan 11 Amanah) dan 5 lagi termasuk Tun dan 4 Ahli Parlimen PPBM yang bersamanya. Usaha terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan GPS juga tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat dan gagal mendapat sokongan yang mencukupi.

5. Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN adalah jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara.

6. Memandangkan ianya opsyen yang pernah dibincang dan dipersetujui untuk dipertimbangkan bersama, sekiranya opsyen satu gagal mendapat sokongan *yang mencukupi*, adalah diharapkan pihak Keadilan kembali kepada keputusan mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020 yang telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri iaitu menerima opsyen kedua.

YB Khalid Samad
Pengarah Komunikasi,
Parti AMANAH Negara.

YB Loke Siew Fook
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP