KEMELUT POLITIK: MALAYSIA PERLUKAN PERMULAAN BARU - NIK NAZMI



Walaupun sejak beberapa minggu kebelakangan ini cerita berkenaan Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan semula hangat diperkatakan, apa yang paling diharapkan oleh rakyat Malaysia sekarang adalah satu permulaan baru yang dipenuhi harapan.

Saya ingin membawa anda semula kepada sebuah kisah yang pernah satu ketika dahulu dilihat “mustahil”. Kita berjaya menumbangkan Barisan Nasional ketika PRU14. Semua ini berlaku kerana Pakatan Harapan berjaya memberikan “harapan” kepada rakyat. Kita dipilih menjadi kerajaan bukanlah semata-mata disebabkan individu atau parti politik, tetapi harapan yang kita telah tawarkan sehingga rakyat berani mengambil keputusan untuk menumbangkan kerajaan yang telah berkuasa lebih dari 50 tahun.

Kita tidak harus melupakan perjuangan kita untuk sentiasa mengangkat martabat rakyat dan membantu mereka yang memerlukan. Dalam kempen-kempen yang kita jalankan, kita tak henti-henti melaungkan kalimah – suara rakyat, suara keramat. Harapan baharu yang kita ingin bina seharusnya bertunjang kalimah ini; mendengar rintihan dan masalah yang dihadapi rakyat.

Pakatan Harapan juga diberikan mandat kerana rakyat sudah muak dengan Barisan Nasional yang terkenal dengan rasuah dan pemimpin-pemimpin mereka yang boros berbelanja. Apabila kita diberi mandat, rakyat ingin melihat kita bebas dari rasuah dan mereformasikan institusi untuk mendapat kerajaan yang bersih. Harapan yang menggunung inilah yang menyebabkan rakyat memilih kita.

Malangnya, sesetengah pemimpin Pakatan Harapan bermain-main dengan harapan dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat. Mereka mempersendakan manifesto PRU14 dengan pelbagai alasan yang sesekali tak masuk akal. Keadaan ini telah membangkitkan kemarahan rakyat, dan menyebabkan harapan yang subur tadi kembali pudar. Kita tewas dalam beberapa PRK, hilang sokongan bukan saja masyarakat Melayu (ketika dipimpin pemimpin yang dikatakan didokong masyarakat Melayu) malah masyarakat bukan Melayu.

Kita memang ada melaksanakan sebahagian besar manifesto kita, tetapi kita memperlekehkannya. Saya percaya jika kita mempertahankan semangat manifesto dan berkomunikasi dengan lebih baik, kedudukan kita akan lebih baik.

Selain itu, masalah transisi kuasa yang dari Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim telah menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan dari situasi ini sedangkan indikasi 1-2 tahun telahpun diberikan kepada umum.

Memandangkan tiada mekanisme yang jelas dan berlaku dolak-dalik dari segi tarikh, pihak yang tak bertanggungjawab telah melakukan perancangan rapi untuk melaga-lagakan kedua tokoh ini, dan akhirnya telah menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan.

Faktor bermain-main dengan manifesto PRU14 dan kegagalan untuk merangka plan transisi peralihan kuasa telah menyebabkan kita kalah pada perancangan rapi mereka yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa.

Untuk bergerak ke hadapan, Pakatan Harapan dan Malaysia perlukan permulaan yang baru, kita perlu belajar dari semua kesilapan yang kita lakukan sebelum ini. Kita tidak boleh menjadikan pisang berbuah dua kali, tapi kita boleh menanam buah-buah baru untuk berikan kepada rakyat.

Retorik Melayu malas yang diratib berulang kali, kemudian melaungkan pula Maruah Melayu kelihatan aneh dan janggal. Yang malas ialah tauke-tauke besar yang rapat dengan penguasa. Rakyat di bawah – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan – terpaksa bekerja keras untuk sesuap nasi.

Kita perlu dasar dan polisi yang mencakupi semua yang tentunya akan menyatukan rakyat yang berbilang kaum. Kita perlu mentadbir negara dengan polisi ekonomi yang saksama, dan memastikan rakyat yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa akan dibantu. Bila rakyat dibawah mendapat pembelaan, retorik perkauman akan semakin lama, semakin pudar tarikannya.

Harapan seperti inilah yang perlu ditanam dalam jiwa rakyat, jika kita berhajat ingin mendapat mandat dan menjadi kerajaan yang baik.

Dengan penurunan had umur mengundi ke 18 tahun, sudah tentu suasana politik Malaysia akan berubah. Pengundi muda pada hari ini kebanyakannya telah muak dengan permainan politik yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat. Dengan akses mereka kepada teknologi dan Internet, sudah tentu mereka dapat melakukan perbandingan yang kritikal. Jika kita gagal menawarkan harapan baru kepada mereka, sudah tentu mereka tidak akan memilih kita.

Mengapa susah sangat untuk diberikan peluang kepada Anwar? Dari 1998 sehingga hari ini, apa tohmahan yang tidak dikenakan ke atasnya: untuk audiens Melayu dikatakan beliau terlalu liberal. Untuk kelompok liberal, diulang-ulang latarbelakang aktivismenya mendaulatkan Islam dan mendaulatkan Bahasa Melayu yang dikatakan ekstrem. Dikatakan Anwar ini gila kuasa.

Yang pasti, beliau belum berpeluang menjadi PM. Yang pasti, beliau tidak memilih jalan mudah selama ini hingga dipenjara lebih sedekad. Yang pasti beliau ditawar untuk tinggalkan sekutu dalam Pakatan Harapan untuk mendapat kuasa, tetapi menolaknya. Agak aneh untuk seorang yang begitu terdesak untuk kuasa berbuat demikian.

Kebanyakan pimpinan UMNO yang keluar parti cuma berani mengasaskan klon UMNO: parti Melayu Islam. Hanya Onn Jaafar dan Anwar berjaya membina parti pelbagai kaum. Onn Jaafar memilih kembali mengasaskan parti Melayu selepas IMP gagal. Tetapi disebalik pelbagai cabaran KEADILAN menjadi pemain besar dalam politik Malaysia: parti pelbagai kaum yang majoritinya Melayu. 

Beri peluang kepada Anwar, selaku Ketua Pembangkang dan ketua parti dengan 38 kerusi untuk mengambil alih tampuk kuasa untuk melihat sejauh mana beliau dapat tunaikan bukan saja janji-janji Pakatan Harapan tetapi juga potensinya sebagai PM.

Malaysia perlukan permulaan yang baru, Pakatan Harapan dapat memberikan harapan itu. Cuma, untuk melakukan semua itu, kita memerlukan keazaman politik yang kuat, dan berani belajar dari kesilapan lepas.