KALAU ANWAR BOLEH BERPEGANG PADA JANJI, MENGAPA KITA TIDAK ?



Semua tahu, sewaktu PH mengadakan perjanjian peralihan kuasa di antara Tun M dan Anwar sekiranya PH menjadi kerajaan, waktu itu Anwar masih di dalam penjara.  Kita semua telah membuat janji dengan manusia yang sedang terpenjara ketika itu.

Bahkan, ketika Tun M mengangkat sumpah menjadi PM iaitu satu jawatan yang diimpikan oleh semua orang politik yang bercita-cita besar, ketika itu jasad tokoh reformasi ini masih di dalam penjara.  Dari sebalik tirai besi penjara, insan ini melakukan sujud syukur kerana negara ini telah berjaya diselamatkan dari rejim kleptokrasi. 

Sebaik sahaja beliau diberi pengampunan penuh oleh Agong, perkataan atau ucapan pertama yang keluar dari mulut beliau adalah bersyukur kepada Allah dan menyeru agar kita semua memberikan sokongan padu kepada PM, Tun M.  Di kala ramai rakan-rakan seperjuangannya yang tersenyum simpul memasukkan kad perakam waktu di pejabat kementerian masing-masing di Putarajaya, Anwar hanya orang biasa sekadar menyaksikan hari penuh bersejarah itu.

Begitulah keadaannya sepanjang tempuh 22 bulan kerajaan PH berkuasa sebelum dikhianati oleh petualang yang tamak dan rakus kuasa.  Sehingga ke saat akhir kerajaan PH, mulut Anwar terus memberikan sokongan kepada Tun M selaku PM.  Beliau menundukkan kepalanya dan merendahkan dirinya untuk terus memberikan masa kepada Tun M untuk terus menjadi PM sehingga tarikh yang Tun M tentukan sendiri.  Begitu sekali Anwar berpegang kepada janji sehinggakan beliau lupa janji kedua adalah beliau patut diangkat menjadi PM ke 8 setelah semua proses perundangan membenarkan beliau ke posisi itu.

Malangnya, PH diuji dengan ujian yang berat di mana PH diperlihatkan tentang beberapa wajah para pengkhianat dan munafik.  Ujian ini mungkin mempunyai hikmah yang besar di mana Allah mahu PH dibersihkan dari golongan munafikun. Kita patut bersyukur dengan ujian ini kerana jika tidak berlaku sedemikian, kita masih menyimpan puak-puak ini yang akhirnya nanti membusukkan nama PH.

Anwar telah melaksanaan amanahnya.  Anwar telah menunaikan janjinya sehingga ke penghujung.  Bagaimana yang lain?  Sekarang, kita diberi peluang oleh Allah untuk mengambil semula mandat rakyat yang telah dikhianati itu.  Apakah di dalam keadaan sekarang, di waktu kita telah diberi 'kifarah' dengan kehilangan kerajaan dua bulan yang lalu, kita masih tidak mahu menunaikan janji-janji kita kepada Anwar?  Apakah kita lupa kepada janji-janji kita kepada rakyat yang masih tidak tertunai? 

Rakyat telah merasai baik buruknya berada di bawah PH yang dipimpin oleh Tun M selama hampir dua tahun.  Rakyat sekarang ingin merasai pula bagaimana berada di bawah kerajaan PH yang akan dipimpin oleh Anwar Ibrahim.  Kita pernah melihat Anwar menjadi TPM dan Menteri Kewangan yang pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik di Asia.  Apakah kita tidak teringin mahu melihat bagaimana Anwar memimpin negara ini sebagai PM?

PH harus memberikan peluang ini kepada Anwar bukan kerana janji-janji yang telah kita meterai dahulu semata-mata, tetapi Anwar adalah tokoh yang tidak pernah wujud sejak merdeka yang mencipta sejarah beraya mengetuai Pembangkang berpuluh tahun dengan penuh gemilang.  Auranya terpancar ke seluruh dunia walaupun jasadnya terpenjara. 

Amat malang sekali jika pimpinan PH melupakan insan ini kerana memikirkan kembali keempukan kerusi di pejabat menteri masing-masing.  Rakyat menanti Anwar sebagai PM bukan kerana Tun M tidak hebat tetapi Tun M telah pun diberi peluang dua kali menjadi PM dan sepatutnya beliau bersyukur kerana rezekinya itu bukannya terus mencuba untuk mencuri rezeki orang lain yang sepatutnya.

WFAUZDIN NS