Kadar penganguran lebih 5% – PH
Pakatan Harapan (PH) hari ini mendakwa berlaku kesilapan pengiraan berhubung kadar pengangguran yang dimaklumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan berkata, ia berkait dengan sebab teknikal dalam pengiraan angka terbabit.
Menurut DOSM, kadar pengangguran negara pada April melonjak kepada 5% apabila bilangan orang yang hilang pekerjaan meningkat kepada 778,800 orang atau 48.8% berbanding tahun lepas.
Bagaimanapun pemimpin pembangkang dalam satu kenyataan berkata, terdapat sekurang-kurangnya 2 kumpulan yang tidak dimasukkan ke dalam pengiraan kadar pengangguran 5% itu.
Mereka berkata, kira-kira 4.9 juta orang tidak dimasukkan ke dalam kadar itu kerana standard yang digunakan oleh DOSM dan manual yang disediakan oleh Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO) mengkategorikan kumpulan itu sebagai mempunyai pekerjaan dalam masa terdekat.
“Tidak ada jaminan pekerjaan itu akan terus ada.
“Risiko yang perlu diperhatikan ialah, sekiranya hanya 10% daripada kumpulan pekerja ini hilang pekerjaan mereka, maka kadar pengangguran tentulah 2 kali lebih besar daripada angka April 2020 itu.”
Bagi kumpulan kedua, kira-kira 161,000 orang meninggalkan kerja dan mereka tidak dianggap tidak bekerja oleh DOSM.
“Ramai mereka boleh disifatkan sebagai pekerja yang hilang minat. Dengan perkataan lain, mereka tidak lagi berminat untuk mencari kerja.”
Mereka berkata, salah pengiraan itu mengisyaratkan bahawa kerajaan melunakkan keadaan di pasaran kerja.
“Kerajaan perlu menggunakan pendekatan lebih berhati-hati dengan data dan lebih agresif dalam menangani kemelesetan yang berlaku dari segi melindungi pekerjaan sedia ada serta mencipta pekerjaan baru.”
Pembangkang juga mengesyorkan supaya kerajaan mengembangkan sistem kesihatan awam dan pendidikan dalam tempoh 2 tahun akan datang kerana ia boleh mencipta lebih banyak pekerjaan.
“Jika dilaksanakan, syor ini melibatkan, antara lain, pengambilan baru jururawat, doktor, guru, pentadbir makmal, pembantu guru, pensyarah dan penyelidik.”
Mereka juga mengesyorkan supaya kerajaan memperluaskan program insentif upah dan pengambilan kerja (program Malaysia@Work) yang dilancarkan oleh PH sebelum ini.
“Memperluaskan program itu untuk turut merangkumi sektor kesihatan awam dan pendidikan akan membantu mencipta pekerjaan berkualiti baru yang lebih banyak.”