Kerajaan PN jangan hanya sekadar menabur janji untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), sepatutnya mengambil langkah segera bagi meminda akta tersebut melalui sidang Parlimen yang seharusnya diadakan tanpa lengah.
Demikian desakan yang dibuat oleh Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari.
Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan akan memberi perhatian serius dan mengambil tindakan tegas terhadap kes kemalangan maut pengguna jalan raya melibatkan pemandu mabuk harus dilaksanakan segera tanpa kompromi.
“AMK Malaysia menyambut baik tindakan serius yang akan diambil oleh kerajaan membabitkan pemandu mabuk sepertimana yang dijanjikan kerana ia melibatkan nyawa manusia merentasi pendirian politik.
“Ianya bukan tunggangan politik dan jangan sama sekali mengheret isu perkauman dalam kes membabitkan pemandu mabuk serta perlu diselesaikan dengan tuntas dan segera.
“Kerajaan perlu sepantas yang mungkin dan bersungguh-sungguh menangani isu ini sepertimana isu wabak covid-19 ditangani kerana kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu maut adalah pandemik yang terabai dan tersisih,” tegasnya.
Malah katanya lagi, cadangan yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu hukuman terhadap pemandu mabuk dan pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian perlu ditingkatkan kepada minima penjara lima tahun dan maksimum penjara seumur hidup mestilah direalisasikan dan bukan hanya sekadar manis mulut sahaja.
Tambah beliau, denda tidak lebih dua ratus ribu ringgit dan wang pampasan dibayar kepada keluarga waris serta lesen memandu pesalah juga harus digantung seumur hidup.
Menurut Firdaus lagi, kerajaan disarankan supaya mengambil tindakan lebih drastik serta berbincang dan bekerjasama erat dengan Majlis Peguam Malaysia agar tuntutan sivil bagi keluarga mangsa boleh dijalankan tanpa beban kewangan yang tinggi terhadap mereka.