Selepas tular satu gambar yang memaparkan kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berwajah baharu lengkap dengan pengubahsuaian set sofa dan perabot dari syarikat Bardeaux Meuble Furniture, kini Facebook Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Melaka mula menabur fitnah terhadap bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Berdasarkan ‘posting’ itu Pemuda Umno memfitnah Adly Zahari dengan membuat kira-kira perbelanjaan kononya Pengerusi AMANAH Melaka itu telah membuat pengubahsuaian Rumah Tamu di Bukit Peringgit menjadi kediaman rasmi.
Bagaimanapun, Adly di dalam status Facebooknya menafikan perkara tersebut bahkan tidak pernah membuat pengubahsuaian rumah tamu yang didudukinya.
Sebaliknya, beliau berkata hanya kos penyelenggaran sahaja yang dilakukan dan berdasarkan rekodnya sebanyak RM18,000 telah digunakan pada tahun 2019.
“Saya tiada masalah dikritik, tapi janganlah menabur fitnah. Bil elektrik rumah tamu hanya sekitar RM2000 sebulan berbanding RM37,000 di Seri Bendahara.
“Untuk penjimatan air, sudah menjadi kebiasaan, saya mandi dalam baldi warna biru. Lihat sedikit,” katanya.
Pemuda Umno menuduh Adly membelanjakan RM510,015.00 di kediaman rasmi pada tahun 2018, tahun 2019 pula membelanjakan RM554,779, dan 2020 membelanjakan RM468,362.
“Tu belum masuk lagi bil elektrik, bil air, internet etc. Boleh tahan keras juga jumlahnya ni.
“Ya tuan-tuan, perbelanjaan tersebut hanya selama 22 bulan. PH memerintah dan selama Wasabul Ul-Alim Adly Zahari jadi ketua menteru. Zuhud kan beliau?” tulis Pemuda Umno Bahagian Kota Melaka yang turut dikongsi oleh Adly Zahari.
Sewaktu Adly Zahari menjadi Ketua Menteri, beliau sama sekali tidak membenarkan Seri Bendahara diubahsuai dan diganti sebarang peralatannya untuk menjimatkan duit rakyat oleh kerana peralatannya masih elok dan cantik.