Pimpinan utama Pakatan Harapan wajib bersama membentuk kembali kekuatan untuk menyelamatkan negara dan memulangkan semula mandat rakyat yang dirompak di tengah jalan.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi berkata, formula utama menjayakan misi mengembalikan mandat rakyat adalah dengan menggabungkan kekuatan lima tonggak pimpinan utama parti dalam PH.
Lima pimpinan yang disebutkan Abbas termasuklah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.
“Mereka berpengalaman luas dan diyakini mampu menggalas misi ini dengan jayanya.
“Dibantu lagi dengan orang kanan mereka yang setia dengan perjuangan ini pastinya kejayaan misi mengembalikan mandat rakyat mampu direalisasikan.
“Mereka juga mempunyai pengikut tersendiri dan pengaruh yang kuat. Jika tidak digandingkan kekuatan bersama, maka penjahat politik akan terus bermaharajalela dan banyak lagi sistem negara yang akan rosak. Rakyat juga yang akan menderita,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini
Pada masa sama, Abbas berkata misi yang diperjuangkan sama sekali tidak akan tidak berjaya jika para pemimpin terlalu asyik bercerita tentang kekuatan masing-masing dan tidak mahu bertolak ansur.
Ujar Abbas, bertolak ansur tidak bermakna mereka perlu menggadaikan apa-apa kepada rakan mereka, malah kepentingan diri perlu diketepikan ketika ini untuk memfokuskan kepada kepentingan rakyat dan negara.
Beliau turut mengingatkan, apa juga gunanya hebat pada nama dan ramai pengikutnya, namun masih tidak mampu berlawan dengan mereka yang mencabuli sistem negara.
Katanya, adalah satu perkara yang malang jika gah pada nama dan slogan tetapi hak rakyat tidak mampu dipertahankan.
“Memanglah agak susah apabila pemimpin hebat ini berbincang, seperti pepatah cina ada nyatakan, susah apabila dua ekor singa berada di atas bukit yang sama.
“Tetapi jika fokusnya kepada negara dan rakyat, singa-singa ini patut merendahkan ego kekuatan masing masing dan menggemblengkan kekuatan yang ada. Jika ini yang berjaya dilakukan maka dapatlah pimpinan PH langkah bergaya ke Putrajaya.
“Rakyat tidak mahu tahu apa yang kamu sudah ada, rakyat tidak mahu berbicara soal perkara yang telah berlaku, tetapi rakyat mahu melihat negara kembali ke landasan yang betul dan tepat,” katanya lagi.