Siar bahan politik di media sosial, UUM beri amaran kepada Dr Kamarul
Tindakan Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff yang sering menyiarkan bahan politik di akaun media sosialnya telah mengundang padah.
Pihak pengurusan universiti dikatakan melarang beliau menulis pemikiran politik di media sosial lagi.
Kamarul Zaman cukup terkenal sebagai pengkritik hebat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 27 Mei lalu, Kamarul juga memuatnaik tulisannya dengan melabel Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi dengan ayat ‘Ketua Wanita AMANAH yang hipokrit’.
Ekoran tuduhan itu, Aiman memberikan tempoh 48 jam untuk penganalisis politik terbabit memohon maaf secara terbuka dan menarik semula tuduhan terhadapnya.
Kamarul akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aiman namun, beliau dikatakan masih lagi mahu menyerang Aiman melalui status itu.
Berkongsi laporan tindakan UUM kepada Kamarul, Aiman mengucapkan tahniah kepada UUM atas tindakan terhormat yang dilakukan demi menjaga nama baik institusi ilmu.
Kamarul mengesahkan beliau telah dilarangan dan telah dipanggil oleh pemimpin tertinggi UUM pada hari Rabu setelah laporan dibuat terhadapnya.
“Ya, saya diberi amaran untuk tidak mengulanginya. Sekiranya ada laporan lain, tindakan akan diambil terhadap saya, ”katanya sebagaimana dilaporkan The Star.
Bagaimanapun, dalam status Facebooknya pada hari Rabu, Kamarul Zaman menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah dengan pegawai tertinggi universiti atau kakitangan pengurusan universiti lain.
Kamarul Zaman pernah mengkritik Dr Mahathir dan mempersoalkan bagaimana Mahathir sesuai untuk menjadi perdana menteri ketujuh disaat usianya semakin tua.
Setelah Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, Kamarul Zaman melepaskan jawatannya sebagai pengarah Institut Analisis Politik Malaysia UUM.