Berikutan Tun Mahathir Mohamad sudah memutuskan tidak mahu lagi bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, persoalan terbaru kini ialah apa jadi dengan usul undi tidak percaya di Parlimen 13 Julai depan?
Dengan kedudukan calon Perdana Menteri PH Plus masih tidak menentu manakala Tun Mahathir mengesahkan akan tetap membawa usul tersebut, bolehkah usul itu menempa kejayaan jika tanpa sokongan 38 Ahli Parlimen PKR?
Apakah Anwar dan PKR sedia menyokong serta mengundi usul tersebut kiranya penentuan calon Perdana Menteri masih tidak dapat diputuskan?
Dalam hal ini, harus disedari bahawa usul undi tidak percaya itu hanya bertujuan untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, tetapi tidak bererti jika setelah Muhyiddin dijatuhkan, Tun Mahathir yang membawa usul tersebut akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
Setelah Muhyiddin kehilangan sokongan dan dijatuhkan, melantik Perdana Menteri perlu melalui satu proses yang lain iaitu persetujuan di kalangan pihak pembangkang yang akan mempersembahkan nama seorang Ahli Parlimen kepada Yang Dipertuan Agong.
Ringkasnya, Parlmen hanya boleh menjatuhkan Perdana Menteri melalui undi, namun tidak berhak melantik seorang Perdana Menteri baru melalui undian.
Perlantikan Perdana Menteri baru mesti diadakan di Istana Negara, bukan di Parlimen.
Maknanya, walaupun jika calon Perdana Menteri PH Plus masih gagal dimuktamadkan, tidak menjadi masalah untuk usul undi tidak percaya dibawa dan dibentangkan terhadap Muhyiddin.
Ia tidak menjejaskan apa-apa dan tidak menimbulkan sebarang kesalahan kerana usul undi tidak percaya hanyalah untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang diragui sokongan majoriti dimilikinya.
Namun demikian, demi memastikan kelancaran dan cantiknya permuafakatan di kalangan pembangkang, adalah lebih baik jika calon Perdana Menteri PH Plus dapat diputuskan sebelum usul undi tidak percaya dibawa ke Parlimen.
Jika calon Perdana Menteri sudah ada, nama itu hanya perlu dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebaik saja Muhyiddin dijatuhkan.
Ini bermakna, bagi Anwar dan 38 Ahli Parlimen PKR, tidak ada masalah bagi mereka untuk menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Tun Mahathir nanti.
Usul tersebut semata-mata untuk menjatuhkan Muhyiddin dan bukan untuk melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang baru.
Demi menunjukkan PKR berada di pihak pembangkang dan tidak menyokong Muhyiddin yang menubuhkan sebuah kerajaan tanpa mandat pilihanraya, sudah tentu pilihan yang terbaik bagi beliau ialah menyokong usul tersebut.
Selepas itu, perundingan atau mencari kata sepakat boleh diteruskan bagi menentu dan memilih siapa yang lebih sesuai untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Dalam hal ini, mereka yang berada di pihak kerajaan, UMNO misalnya, jika mereka pun banyak tidak setuju dengan Muhyiddin atau dengan tujuan mahukan pilihanraya semula diadakan dengan segera, mereka juga boleh menyokong dan mengundi usul undi tidak percaya itu.
Pokoknya, siapa pun boleh menyokong usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin nanti.
Dengan tambahan sokongan yang lebih besar daripada kelompok UMNO dalam menolak beliau misalnya, Muhyiddin pasti saja akan membubarkan Parlimen sebagai pilihan terakhirnya sebelum bersara.
Terutama bagi Najib, dengan adanya pilihanraya awal inilah pilihan terbaik yang sedang terbentang jika beliau benar-benar ingin kembali semula sebagai Perdana Menteri. (Shahbudindotcom 25/06/2020)