Membaca dan meneliti tulisan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malek bertajuk “Galah Sejengkal Tun Dr. Mahathir”, sekurang-kurangnya dua persoalan timbul daripadanya.
Pertama, sementara beliau mengatakan jawatan Perdana Menteri ke-9 tidak seharusnya dijadikan hak mutlak untuk Anwar Ibrahim, kenapakah beliau seolah-olah mahu menjadikan jawatan tersebut dimutlakkan pula kepada Tun Mahathir Mohamad?
Apakah istimewanya Tun Mahathir yang hanya ada 5 kerusi bersamanya sehingga perlu menobatkannya sebanyak tiga kali sebagai Perdana Menteri dan apakah hanya bekas Perdana Menteri itu saja yang mampu menarik tambahan 5 lagi kerusi lagi untuk menjadikan jumlah 107 yang dimiliki PH sekarang sebagaimana yang diumumkan Anwar dapat ditingkatkan kepada angka 112 bagi “mencapai buah-buah ranum di puncak”?
Dengan gambaran yang diberinya bahawa galah sejengkal Tun Mahathir lebih lebih penting daripada galah sedepa yang sedang dimiliki Anwar untuk PH kembali semula menjadi kerajaan, adalah jelas Dr. Mazlee terlalu ingin memuliakan Pengerusi Bersatu yang telah diumumkan keahlian partinya terpecat oleh Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu, baru-baru ini.
Sepatutnya Dr. Mazlee sedar, jika pun angka yang sedikit mahu dimuliakan, beliau tidak patut meremehkan orang lain yang mempunyai angka yang lebih besar.
Apatah lagi, selain dalam amalan demokrasi, banyak sisi lain dalam kehidupan juga, walau bukan suatu kewajipan, turut memfaktorkan angka yang banyak lebih wajar dihormati dan diberikan kedudukan tinggi berbanding angka yang sedikit.
Kedua, Dr. Mazlee juga menyebut, selain berpotensi menggenapkan angka 107 menjadi 112, Tun Mahathir juga, jika menjadi Perdana Menteri semula, didakwanya mampu mencapai jumlah angka yang lebih menakjubkan iaitu sehingga 148 iaitu majoriti dua pertiga bagi PH.
Tulis Dr Mazlee seterusnya – “Analoginya mudah. Galah Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya mampu mencapai 92 atau lebih sedikit tetapi tidak mampu melepasi 112, sebaliknya sekiranya disambung dengan galah sejengkal Tun Dr Mahathir, maka angka 112 boleh dilepas. Bahkan 130 atau lebih sedikit pun boleh dijangkau.
“Tun Dr Mahathir boleh ‘ramp-it’ sehingga 148 jika betul rundingan dan percaturannya. Dengan menambah galah sejengkal Tun Dr Mahathir dengan galah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka buah-buah yang banyak di bahagian atas pokok boleh dikait dengan mudah.
“Apabila angka 112 ini telah dicapai, galah sejengkal ini akan digunakan lagi untuk membawa angka ini kepada 130. Analoginya mudah, galah 112 ini akan berupaya menggoncangkan pohon-pohon ‘buah 18’ yang lain walaupun tinggi.
“Dan apabila angka telah mencapai 130, pohon-pohon berbuah 17 (asalnya 21) pun akan turut rapuh untuk dipetik oleh galah sejengkal. Ianya bagus jika mahukan sebuah kerajaan yang stabil dengan bilangan ahli parlimen mencapai 148 sekurang-kurangnya.”
Dalam konteks ini, tiga soalan mudah buat Dr Mazlee – pertama, kenapa sepanjang 22 bulan menjadi Perdana Menteri bersama PH sebelum ini, Tun Mahathir tidak pernah mampu mencapai angka 148 bagi menjadikan kerajaan yang dipimpinnya ada kekuatan dua pertiga?
Kenapa baru sekarang imaginasi angka 148 itu ditimbulkan?
Kalau 22 bulan tidak mampu, apakah dengan hanya janji untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi bagi tempoh enam bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar, Tun Mahathir benar-benar berupaya menarik sehingga angka 148 itu?
Yang kedua, harus difahami kekuatan pembangkang, khususnya PH sekarang ini adalah simbol keupayaan Anwar menggerakkan perjuangan reformasinya sejak lebih 20 tahun lalu.
Anwar hampir berjaya mengalahkan BN pada pilihanraya 2013 dengan kemampuan pertama kali merampas keunggulan undi popular sebanyak 52 peratus, tetapi tidak dapat beraksi pada PRU14 kerana berada di penjara.
Meski di penjara di mana beliau terus memainkan peranan dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan serta saranan secara aktif, kekuatan PH tidak pernah berkurang sepanjang ketiadaannya secara nyata.
Memang Tun Mahathir yang mengetuai PH mencapai kejayaan pada PRU14, tetapi sebahagian kecemerlangan pada pilihanraya itu adalah kerana asas yang telah bertapak kukuh yang disediakan oleh Anwar dan kerana namanya juga disebut sebagai pengganti Perdana Menteri seterusnya.
Maka, dengan rentetan itu, di mana logiknya untuk mengatakan Anwar tidak mampu menggenapkan jumlah 107 menjadi 112 atau lebih tinggi daripada itu, sebaliknya hanya Tun Mahathir saja mampu melakukannya?
Yang ketiga, jika benar Tun Mahathir ada keupayaan menarik sehingga 148, siapakah mereka itu?
Adakah antara mereka yang bakal melompat itu terdiri daripada kalangan 18 Ahli Parlimen Pas, 11 kumpulan Azmin Ali dan geng dalam Bersatu pro Muhyiddin yang termasuk daripadanya pelompat-pelompat katak yang diketuai Hamzah Zainuddin?
Kalau mereka itu yang sebelum ini telah terbukti sebagai pengkhianat dan anti kepada Anwar, apakah dengan membawanya semula ke dalam PH dapat menjadikan proses peralihan kuasa kepada Presiden PKR dapat berlangsung dengan aman di sebalik alasan menguatkan kerajaan yang digunakan?
Atau tujuan menarik semula mereka itu memang untuk menghalang sekali lagi Anwar daripada menjadi Perdana Menteri serta dengan demikian, Tun Mahathir dapat mencapai cita-cita asalnya untuk berkuasa sehingga habis penggal?
Apa pun, terima kasih kepada Dr. Maslee kerana niat terselindung di sebalik tulisannya terlalu amat mudah untuk difahami dan Anwar tentunya tidak akan menjerumuskan dirinya terjebak dalam lubang yang sama untuk kali yang ketiga.
(Shahbudindotcom 13/06/2020)