Apa jadi dengan PH berperang sesama sendiri?
Akramin Idrus
Kelihatan kini tiada lagi kelihatan titik noktah kepada serangan-serangan ini. Tidak wujud lagi mana-mana pemimpin yang membuka ajakan untuk mengukuhkan Pakatan Harapan selepas percakaran
Saya bukan lah pemimpin utama dalam Pakatan Harapan. Namun saya sepertimana anak muda kebiasaan, sentiasa memerhati tingkah laku perti memerintah mahupun parti pembangkang. Tidak malu kah anda sebagai pemimpin menunjukkan sikap begini dihadapan kami semua?
Ia amat menyedihkan apabila melihat gabungan parti pembangkang bercakaran sesama sendiri sedangkan Perikatan Nasional rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat biasa, kami mengharapkan gabungan parti Pakatan Harapan Plus dapat mengambil alih semula tampuk pemerintahan yang dirampas dek pengkhianat mandat rakyat.
Mengharapkan satu titik noktah muncul diantara parti komponen dalam Pakatan Harapan Plus seperti mana rakyat cintakan perubahan yang lain. Penyelesaian sebarang masalah perlulah dilakukan dalam ruang yang tertutup tanpa kami mengetahui apa yang berlaku. Ketelusan itu perlu tetapi biarkan ia berpada.
Kian hari, semakin ramai perompak-perompak duit rakyat dilepaskan oleh Perikatan Nasional. Pada siapa kami ingin sandarkan jika gabungan pembangkang sendiri masih lagi bertelagah. Adakah ia akan menguntungkan sesebuah parti komponen? Sejarah tidak pernah membuktikan perpecahan akan menguntungkan sebaliknya hanya perompak-perompak sahaja akan berteriakan gembira sambil memikirkan dimana lagi harta rakyat boleh dikaut.
Berilah kami sinar Harapan untuk memastikan masa depan negara kami cintai lebih terjamin. Semoga negara ini ditadbir orang yang baik dan dapat meletakkan negara kita kembali Di landasan yang betul.