Tun M kekal ahli Bersatu, kumpulan Muhyiddin terdesak?
Pergolakan dalaman Bersatu semakin hebat apabila Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya bertindak memecat pengerusi parti itu Tun mahathir, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir dan tiga yang lain.
Sejurus selepas itu, Setiausaha Agong Bersatu Marzuki Yahya pula mengeluarkan kenyataan bahawa Suhaimi tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat pemecatan.
Beliau berkata perlembagaan Bersatu memberikan kuasa sedemikian kepada setiausaha agung, sedangkan setiausaha kerja tidak diiktiraf dalam perlembagaan parti.
“Orang yang mengeluarkan surat itu harus dipecat dan kandungan surat itu sama sekali tidak ada asas. Tun dan yang lain masih sah sebagai ahli,” katanya dipetik Malaysiakini.
Marzuki berkata beliau masih merupakan setiausaha agung parti itu dan urusan berkaitan keahlian berada di bawah bidang kuasanya.
Tambahnya, pemecatan anggota juga sepatutnya dirujuk kepada lembaga disiplin dan Majlis Tertinggi parti terlebih dahulu, namun perkara itu tidak dilakukan.
Untuk rekod, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan dirinya sebagai pemangku pengerusi parti dan kemudian menyingkirkan Marzuki sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu.
Mahathir mendakwa pemecatan Marzuki tidak sah dan masih mengiktirafnya sebagai setiausaha agung, manakala Muhyiddin melantik Hamzah Zainudin bagi jawatan itu.
Marzuki mengulas surat pemecatan yang dikeluarkan hari ini kepada Mahathir, anaknya Mukhriz; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.
Mereka dipecat kerana didakwa duduk di “blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional” semasa persidangan parlimen 18 Mei.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan pejabat Mahathir mengatakan pemecatan itu tidak dilakukan sesuai dengan konvensyen parti.
“Parti itu tidak mengikuti konvensyen untuk meminta tertuduh membela diri di hadapan lembaga disiplin.
“Sebenarnya, tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi untuk membincangkan hal ini,” kata sumber berkenaan.