Tiba masanya Anwar tetapkan segala keputusan PH – Manogaran
Pakatan Harapan pasca dikhianati Bersatu harus mengutamakan Presiden PKR dalam membuat keputusan dan menjadi jurucakap gabungan itu.
Hal itu ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran yang berkata sekiranya pelimpin lain turut membuat kenyataan dasar maka imej PH akan berkecamuk sebagai pembangkang.
“Anwar akan membuat segala keputusan untuk PH setelah mendapat maklum-balas dari pemimpin-pemimpin utama Amanah dan DAP.
“Ada peribahasa Cina yang berbunyi ‘Tidak boleh ada dua ekor harimau menetap di gunung yang sama’. Ini memberikan maksud yang jelas bahawa dalam PKR mahupun Pakatan Harapan, hanya Anwar sahaja yang perlu memimpin dan menetapkan halatuju parti dan koalisi
“Anwar Ibrahim seorang sahaja yang patut dan wajar mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam setiap urusan kenyataan rasmi. Sudah tiba masanya PKR dan Pakatan bertekad melaksanakan hal demikian. Tidak perlu pemimpin lain untuk membuat kenyataan itu dan ini sebab ia boleh mengelirukan situasi dan penyokong Pakatan juga akan keliru pasal halatuju PKR ataupun PH,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau menambah bahawa Pakatan harus mula merancang untuk memenangi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah pimpinan Anwar dengan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya lagi, masa untuk dua nakhoda dalam satu kapal sebagaimana era Azmin Ali di dalam PKR telah berlalu. Dengan imej yang padu sahaja, menurut Manogaran, sokongan rakyat akan memuncak kepada PH.