e
Sabah, Sarawak, Kedah tidak longgarkan PKP
Sabah, Sarawak dan Kedah tidak akan melonggarkan perintah kawalan pergerakan esok.
Sabah negeri terbaharu yang tidak akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri memutuskan mengekalkan perintah kawalan pergerakan sedia ada sehingga 12 Mei ini.
“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus.
“Saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi PKP Tahap 4 yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah berkata Sarawak belum bersedia melonggarkan PKP, seperti pengumuman Muhyiddin pada 1 Mei, sebaliknya akan mengkaji dengan teliti sebelum membenarkan semula sebahagian aktiviti ekonomi dan sosial.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata kerajaan negeri akan mengekalkan PKP sedia ada sehingga selesai mengkaji kesan pembukaan semula ekonomi.
Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan berasingan juga berkata pentadbirannya akan meneliti kelonggaran yang dibenarkan oleh Putrajaya mengikut kesesuaian keadaan di negeri.
“Pendirian ini diambil bagi menjamin Kedah kekal sebagai zon hijau dan rakyat tidak terancam dengan jangkitan virus Covid-19.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat tidak akan dikompromi. Buat sementara waktu, terus kekal di rumah dan amalkan penjarakan sosial,” katanya.
Sementara itu, Selangor dan Pulau Pinang juga masing-masing mengadakan mesyuarat pagi ini meneliti beberapa perincian susulan pengumuman Muhyiddin melonggarkan PKP.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak mahu ‘crash landing’ dengan erti kata lain, kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat dan saya akan bertanya dan melihat kesiapsiagaan PBT.
“Ini kerana mereka (PBT) yang perlu melihat bagaimana operasi kedai makan,” kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, semalam.
Pada 1 Mei, Muhyiddin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula esok, tertakluk kepada syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.