ROS tidak harus campur pertelagahan Bersatu
Krisis kepimpinan Bersatu tidak wajar dicampur oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Menurut seorang peguam, ROS sepatutnya mengehadkan peranannya dalam hal penguatkuasaan seperti penyerahan laporan tahunan dan akaun, bukannya berpihak kepada satu paksi dalam perbalahan dalaman
“Bersatu ialah ahli individu, dan kuasa (untuk menentukan perkara seumpama itu) perlu diserahkan kepada parti, bukannya RoS,” kata peguam hak sivil, Charles Hector Fernandez dipetik.
Perbalahan kalangan ahli, atau dalam kepimpinan parti lebih baik dirujuk ke mahkamah, bukan RoS atau menteri, untuk diselesaikan, katanya.
“Sebelum membuat keputusan akhirnya, adakah RoS memberikan Dr Mahathir ‘hak untuk didengar’? Adakah mereka memberi peluang kepada beliau untuk bercakap?
“Saya tidak dengar atau lihat sebarang laporan di mana pendaftar mengadakan pendengaran atau memanggil Dr Mahathir untuk mendengar pihaknya sebelum keputusan dibuat,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
RoS baru-baru ini mengisytiharkan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu, dan perdana menteri sekarang, Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti, akan menjalankan tugas pengerusi.
“RoS sepatutnya hanya kisahkan tentang laporan tahunan dan akaun yang perlu dihantar, sama ada sesebuah persatuan melanggar undang-undang – ia perkara pentadbiran,” kata Fernandez.
“RoS hari ini terlalu banyak kuasa, dan sebenarnya mereka tidak sepatutnya ada kuasa terhadap isu berkenaan.
“Ingat, salah satu undang-undang yang Pakatan Harapan (PH) janji untuk pinda ialah Akta Persatuan, di mana mereka gagal berbuat demikian ketika mereka masih memegang kuasa,” katanya.
Beliau berkata PH berjanji untuk meminda Akta Persatuan untuk mengeluarkan peruntukan anti “kebebasan berpersatuan”, tetapi gagal melaksanakannya.
Sementara itu, peguam perlembagaan Andrew Khoo mempersoalkan sama ada RoS ada maklumat terbaru berkenaan barisan kepimpinan Bersatu.
“Adakah RoS tahu maklumat terkini berkenaan pemilihan parti Bersatu? RoS hanya ada maklumat yang diberikan kepadanya,” katanya.