Rakyat hidup sukar akibat PKP, Kerajaan Pahang kekal cukai tinggi?
Majikan di Pahang menghadapi kesukaraan berganda akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ditambah sikap Kerajaan Negeri yang enggan memberi diskaun cukai kepada mereka.
Dalam kenyataan bersama 9 ADUN Pakatan Harapan (PH) Pahang, mereka berpendapat pembuangan pekerja mungkin tidak dapat dielakkan pada masa hadapan sekiranya majikan kekal berhadapan dengan kesukaran perniagaan tanpa pembelaan Kerajaan Pahang.
“Penstrukturan semula Kadar Cukai Tanah Baharu diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas dan 80% remisyen diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi Tanah Perindustrian dan Pertanian menyebabkan kadar Cukai Tanah baru terutama untuk tanah perindustrian meningkat 4 kali ganda berbanding kadar lama.
“Tempoh kritikal memerangi pandemik Covid-19 ini telah menjejaskan pendapatan dan keuntungan setiap individu dalam semua sektor secara langsung atau tidak langsung.
“Selama hampir 2 bulan, kebanyak premis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor yang menawarkan perkhidmatan penting. Walaupun pembukaan semula ekonomi diizinkan pada PKPB, namun untuk perniagaan pulih semula ianya memerlukan masa. Oleh itu, peranan Kerajaan Negeri dalam memberi sokongan amat penting,” kata kenyataan bersama itu.
Menurut mereka, berdasarkan laporan terhadap kajian impak PKP pada bulan Mac dan April, nilai sektor pembuatan menurun sebanyak 3% daripada RM 113.5 bilion kepada RM 110.2 bilion, indeks sektor pengeluaran perindustrian juga menyusut sebanyak 4.9% pada bulan Mac dengan sektor pembuatan menurun sebanyak -4.2%, perlombangan menurun -6.5% dan elektrik sebanyak -7.0%.
Manakala untuk sektor perkhidmatan ianya menunjukkan penurunan dari 18 Mac sehingga 18 April. Sektor perkhidmatan pada tempoh tersebut dijangka menjana RM 83.29 bilion yang bermaksud penurunan sebanyak 38.6% daripada anggaran purata hasil sebulan.
Peratusan penurunan, kata mereka, amat drastik dengan sektor hiburan dan rekreasi lebih daripada – 90%; makanan dan minuman -86.4%; hartanah -79.6%; penginapan -77.5%; pengangkutan dan penyimpanan -69.9%; profesional -53.0%; perdagangan dan peruncitan -36.6%; kesihatan swasta -21.4%; pendidikan swasta -2.4% dan maklumat serta komunikasi 2.0%
“Kami sebagai ADUN PH Pahang ingin mencadangkan beberapa usul berkenaan dengan cukai tanah agar dapat diringankan
“Kami mencadangkan Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah untuk 3 bulan dari 31 Mei 2020 ke 31 Ogos 2020 bagi meringankan beban rakyat; memudahkan cara pembayaran cukai itu secara ansuran dan melanjutkan tempoh bayaran balik sehingga ke 12 bulan terutama jenis tanah perindustrian dan pertanian.
“Juga Kerajaan Negeri mengkaji semula kadar Cukai Tanah Perindustrian dan Tidak Bersyarat yang masih 4 kali ganda dengan mengembalikan kadar cukai kepada kadar asal untuk tempoh 3 – 5 tahun ke hadapan,” kata mereka lagi.
Mereka turut menyatakan rasa prihatin ke atas survei khas yang digerakkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia tentang kesiapsiagaan simpanan dan kewangan individu serta majikan yang menurut agensi berkenaan hanya dapat bertahan 1- 4 bulan sahaja.
Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa 50% majikan dan pekerja adalah tidak bersedia dari segi kewangan sepanjang tempoh PKPB. Bukan itu sahaja, tempoh simpanan kewangan untuk 77.2% majikan dan 82.7% pekerja pula mampu bertahan 2 bulan sahaja.
“Jika merujuk kepada hasil keputusan kajian, majoriti rakyat sedang menghadapi masalah kewangan tidak kira majikan ataupun pekerja. Wang simpanan dan keuntungan yang diperolehi sebelum ini, kemungkinan besar telah digunakan untuk membayar perbelanjaan sepanjang tempoh PKP .
“Sehubungan itu, kami berharap Kerajaan Negeri yang dipimpin Datuk Seri Wan Rosdy menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang bergelut membayar hutang-hutang bank termasuk cukai tanah yang bakal tamat tempoh bayarannya pada 31 Mei ini, dengan menerima cadangan yang kami kemukakan,” kata mereka lagi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh ADUN Semambu Lee Chean Chung, ADUN Bilut Lee Chin Chen, ADUN Ketari Young Syefura Othman, ADUN Sabai D Kamache, ADUN Triang Leong Yu Man, ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong, ADUN Teruntum Sim Chon Siang, ADUN Mentakab Woo Chee Wan dan ADUN Tras Chow Yu Hui.