Dalam aspek lain, apabila UMNO-PAS membisu terhadap bantahan Presiden MCA tersebut, bermakna UMNO-PAS secara tersirat mengiktiraf gesaan dan bantahan yang disuarakan oleh Presiden MCA tersebut. Keadaan ini menjelaskan bahawa UMNO amnya dan PAS khususnya tidak berminat ke arah pembentukan kerajaan Melayu-Islam sebagaimana mereka laungkan sewaktu PH berkerajaan.
Ternyata laungan mereka hanya merupakan sebagai retorik untuk memasung pemikiran para penyokong mereka, hakikatnya wajah Islam PAS amat kelam dan kabur, beronakan sumpah-sumpah. Keadaan ini menjelaskan bahawa kerajaan Melayu-Isam itu adalah satu metos yang dicanangkan UMNO-PAS semata-mata untuk menjuarai pengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu yang kononnya bersemangat Islam.
PAS menjadikan Islam sebagai bidak percaturan untuk porak-peranda pemikiran masyarakat Melayu. Kicauan ini bukan sahaja datangnya daripada penyokong kelas rendah UMNO-PAS, sebaliknya dituruti serta oleh mereka yang “berkelulusan tinggi” setahap jawatan mufti, mahu pun dalam kalangan sesetengah ahli akademik yang kononnya pembela Melayu, dizahirkan Melalui Kongres Maruah Melayu, kononnya sebagai aspirasi mempertahankan hak-hak orang melayu.
Persoalannya hak apakah itu? Apakah hak-hak orang Melayu yang telah hilang dan pupus serta dicantas? Tanah Rizab Melayu yang kini hanya berjumlah 20 peratus, tidak pula diperjuangkan oleh UMNO-PAS dan UMNOlah yang menjadi petualang kepada mengecilnya saiz peratusan Tanah Rizab Melayu.
Peruntukan Perlembagaan secara mutlak tidak membicarakan soal “hak keistimewaan orang Melayu,” sebaliknya peruntukan 153 menekankan soal “kedudukan istimewa orang Melayu” dua frasa yang membawa makna yang berbeza. Hakikatnya, pada masa yang sama mengiktiraf kedudukan orang bukan Melayu dalam konteks realisasi negara bangsa Malaysia. Apakah ini bermakna, seterusnya akan disusuli pula dengan Kongres Maruah Melayu kedua?
Ternyata, segala bentuk nada perkauman yang dikumandangkan sewaktu PH berkuasa, merupakan nada yang dizahirkan daripada kumpulan Melayu terdesak yang berselindung disebalik tabir Islam. Islam dijadikan jenama bagi mengesahkan segala tindakan serta mengekalkan sokongan, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam pemikiran kelas ketiga.
Hakikatnya, golongan ini merupakan kumpulan yang terjerat dengan pemikiran pemusnah serta terperangkap dalam tingkah laku “homo homini lupus.” Islam dijadikan bahan dagangan untuk keuntungan semerta.
Rasuah, penyalahguanaan kuasa dan penglibatan dalam pengubahan wang haram yang menjadi pola korupsi, dianggap halal dan benar, asalkan sahaja pelakunya adalah orang Islam, gambarannya, seolah-olah apa pun jenis korupsi, salah guna kuasa dan tingkah laku devian, bukan merupakan satu kesalahan selagi “orang itu adalah orang Islam dan menyokong kumpulan Islam berkaitan (UMNO-PAS).
Konotosi yang dikaitkan, “seburuk-buruk orang Islam, menyamun mancuri dan merompak, dia masih tetap Islam, masih mengucap syahadah, lebih baik daripada bukan Islam, maka orang Islam itu perlu diberikan pembelaan, perlu disokong dan perlu dipertahankan.” Seolah-olah jenama Islam itu menghalalkan segala perbuatan anti-moral dan pelanggaran integriti. Hanya dengan perkataan maaf, itu sudah cukup untuk menghalalkan pelanggaran undang-undang, kerana membukti bahawa wujudnya “iman dihati.”
Setelah wujudnya kerajaan PBTA, maka didapati tidak ada lagi sebarang bentuk tindak balas terhadap kenyataan kesediaan Kementerian Pendidikan untuk bekerjasama dengan Dong Zong, sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, wal hal pemuka-pemuka perkauman inilah yang menjaja agar Dong Zong ini diharamkan, lenyap sudah agitasi mereka ini, hanya kerana nafsu mereka untuk berkuasa telah dipenuhi, meskipun kuasa itu dioerolehi melalui rangkaian manipulasi sistem demokrasi. Kegilaan terhadap kuasa, menjadi golongan ini bersikap bebal dalam berpolitik.
Namun bagi golongan ini, itu bukan sesuatu yang memualkan asalkan dendam mereka tercapai untuk menelungkupkan PH, soal mandat rakyat itu bukan sesuatu yang penting. Isu-isu yang berkaitan dengan usaha mengharamkan sekolah vernakular kerana dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan, nampaknya semakin tersisih, penentangan terhadap “Unified Examination Certificate (UEC)” yang begitu lantang dibantah, kononnya bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan, nampaknya sudah semakin menyepi, hampir dilupakan, tidak ada lagi api pemebakarannya dinyalakan.
RUU355 yang sebelum ini menghimpunakan segala jenis manusia berbaju ungu di padang Merbok juga telah menjadi kusam, jelasnya “ungu padang merbok” hanya sebagai alat politik PAS untuk menundukkan serta memukau para penyokong PAS dan membangkitkan pesona masyarakat Islam terhadap wajah kelam PAS, maka jelas bahawa hudupnya PAS itu meniti di atas perangainya yang “menjadikan Islam itu sebagai perkakas politik, memperdagangkan agama” bagi membolehkannya bernafas, sebaliknya pada masa yang sama memperlihatkan melebarnya amalan politik hipokrisi.
Hakikatnya kerajaan yang lahir di atas penafian mandat rakyat, tertegak di atas pengkhiatan terhadap pilihan rakyat, merupakan kerajaan yang bersifat memusuhi moral intelektual dan mematikan aspirasi peradaban. Segala retorik perkauman, gembar-gembur ancaman terhadap Islam dan penyebaran lslam liberal, hilang lenyap daripada kebisingan di media sosial, juga media arus perdana, apalagi hilang terus daripada disyarahkan, khususnya oleh golongan “ulama sampul.”
Bermakna Selama 20 bulan, sejak hari pertama Pakatan Harapan membentuk kerajaan, pihak yang bertubi-bertubi menyerang dengan emosi perkauman dan acuman sentimen Islam, menjadikan Islam sebagai alat politik kepartian, adalah secara jelas ditaja dan digerakkan oleh UMNO-PAS. Golongan yang menjadi duri dalam daging, sebagai usaha berterusan untuk memecah belahkan ikatan sosial, menajamkan konflik perkauman dan melebarkan pergeseran agama.
Golongan ini hakikatnya akan menggunakan apa sahaja medium, pentas ceramah politik, masjid, surau dan media sosial untuk menghuru-harakan pemikiran masyarakat, bahkan lebih jauh daripada itu wujudnya usaha dan percubaan untuk menakwil keislaman pihak yang tidak sehati dan sejiwa dengan fahaman anutan mereka.
————————
Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris