Pasca Langkah Sheraton: Sokongan Cina kepada PH kekal mantap
Masyarakat Cina majoritinya (dilaporkan diantara 95 % hingga 99 %) menyokong koalisi Pakatan Harapan (PH) merasa amat marah apabila PH ditumbangkan pada hujung bulan Februari lalu. Sehingga hari ini mereka masih kecewa dengan ahli-ahli politik yang telah menjatuhkan PH.
Justeru itu, semua penyokong PH dari masyarakat Cina bertegas supaya PKR, DAP dan Amanah tidak perlu lagi bekerjasama dengan sesiapa pun dari PPBM pada masa depan.
“Perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah langkah yang telah memulakan segala masalah PH. Sebab dari langkah inilah PH berjaya dimusnahkan.
“Selain dari itu, tindakan Tun melengah-lengahkan penyerahan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim juga merupakan faktor utama mengapa PH dapat dijatuhkan,” kata Mike Ong dari Kuala Lumpur yang tidak berpuas hati PH hanya memerintah selama 22 bulan.
Mike menambah bahawa tiada kesungguhan dalam usaha Tun menangani bencana perkauman yang disebarkan oleh setengah-setengah puak ari parti-parti politik Umno dan Pas menyebabkan masyarakat Melayu hilang kepercayaan terhadap PH.
“Dengan serangan bertali-arus dari dalam mahu pun luar PH memanglah PH payah bertahan sebab dalam PH pun ada pemimpin yang mensabotaj.
“Sehingga sekarang saya rasa sukar terima bahawa PH telah tumbang dalam sekelip mata. Buah hasil dari kelahiran Reformasi pada tahun 1998 dan perjuangan sejak 20 tahun yang lalu yang membawa hasil pada 9 Mei 2018 lenyap begitu sahaja,” kata Mike lagi.
Bagi penjual sayur, Uncle Lam yang berusia 70 tahun, tiada lagi masa untuk menoleh ke belakang sebab PH perlu merancang mulai sekarang untuk kembali memerintah negara.
“PH jangan lagi mengulangi kesilapan. Kekal sebagai PKR, Amanah dan DAP sudah cukup. Banyak kerja yang perlu diselenggarakan. Jangan buang masa dengan isu yang remeh. Kuatkan dan cerdikkan strategi serta tabahkan hati. PH mampu berjaya lagi dalam masa depan,” katanya.