MESTI SATU SUARA DAN BUKAN BANYAK KEPALA BANYAK SUARA



Salah satu kelebihan BN suatu masa dahulu, mereka berdiri tegak sebagai satu unit. Mereka tidak kelihatan sebagai Umno, MCA, MIC, Gerakan atau lain-lain tetapi mereka kelihatan sebagai BN.

Dan kelebihan mereka itu sedikit demi sedikit hancur dihenyak oleh Pakatan Rakyat ketika itu. Caranya apabila Pas menyerang Umno melalui isu-isu agama yang mana Umno terpaksa muncul sebagai diri sendiri bagi melawan Pas.

Kelebihan itu tak pernah dinikmati oleh Pakatan Harapan mahupun sebelumnya PR. Terutama ketika ini Pas turut bersama mereka, ianya kelihatan seperti Keadilan vs. UMNO, DAP vs. MCA & Amanah vs. Pas. Tidak terlihat PH vs. BN.

BN dan Pas sedar hakikat ini dan sebab itulah mereka menyerang isu berkaitan kaum dan agama. Dan kerana itu amat payah untuk PH meyakinkan rakyat rentas kaum bahawa mereka adalah satu unit.

Cuba lihat di Pulau Pinang, Umno pernah memenangi kerusi majoriti tetapi KM tetap seorang Cina dari Gerakan. Ianya tidak menjadi isu kerana yang rakyat melihat BN yang memerintah. Waima Melayu Pulau Pinang tidak bersuara tentang ini.

Tapi apabila PR berkuasa, walaupun ada orang Pas sebagai exco, negeri itu dianggap dikuasai Cina DAP. Ini adalah sebahagian contoh bagaimana ruginya apabila parti komponen lebih menonjol dari parti gabungan.

Untuk bergerak kehadapan, PH perlu berdiri sebagai satu entiti. Biar PH dilihat sebagai satu parti. Tiada lagi kelibat Keadilan, DAP mahupun Amanah. Yang ada hanya PH. Dengan ini, kad rasis yang cuba dimainkan oleh lawan akan tersia.

Para pemimpin harus mengelak mengeluarkan pendapat secara peribadi mahupun mewakili parti sendiri. Perlu hanya satu kenyataan dan ianya hanya dari Majlis Presiden PH. Yang lain tutup mulut di hadapan media. Nak bercakap hanya dalam mesyuarat.

Dan para penyokong pula mesti berpegang mereka adalah penyokong PH. Bukan lagi penyokong Keadilan, DAP atau Amanah. Mereka berdiri atas satu nama dan nama itu adalah Pakatan Harapan.

Hanya apabila ini dicapai, barulah keyakinan rakyat terhadap PH dapat diperkukuhkan.

Kita boleh buat. Barapa ramai yang dapat mengagak aku dari parti mana? Bukan aku tak bangga dengan parti aku. Tapi aku lebih mahu PH gah di mata rakyat.

- RajaGelap -