MB Peja dalang kekecohan sidang DUN Perak’




Oleh Prof Dr Abdul Aziz Bari 
(Adun Tebing Tinggi dan Naib Pengerusi DAP Perak)
Dalam titah Perasmian Sidang Dewan Negeri ketiga pada hari ini ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah mengingatkan ahli-ahli politik supaya “Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya…..”
Malangnya tidak sampai sejam baginda berangkat meninggalkan dewan kekecohan sengit timbul. Dan semacam ada persamaan dengan apa yang berlaku ketika UMNO merampas kuasa pada 2009.
Kekecohan bermula apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba-tiba bangkit meminta aturan mesyuarat diketepikan dan meminta Speaker, Datuk Ngeh Koo Ham meletakkan jawatan.
Ini mengejutkan dewan kerana Koo Ham telah pun mengumumkan yang beliau akan berbuat demikian secara terhormat. 
Ahmad Faizal kemudian meminta kesemua 35 Adun yang menyokong pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan. Beliau juga mengarahkan Bentara Dewan membawa Koo Ham keluar dengan segera.
Ketika itu juga dengan tiba-tiba petugas-petugas yang tidak dikenali merapati meja speaker, memberi isyarat supaya Koo Ham mengosongkan kerusi beliau.
Senario aneh itu menyebabkan Koo Ham mengingatkan bentara bahawa beliau masih lagi speaker dan satu-satu pihak yang berkuasa nengeluarkan arahan.
Setelah beberapa lama akhirnya mereka akur dan berundur. Selepas itu barulah Koo Ham sempat meletakkan jawatan. Bagaimanapun beliau menyenaraikan beberapa inisiatif yang tertangguh, khususnya penambahbaikan peraturan tetap dan doktrin pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan perundangan.
Beliau juga menyebut betapa Dewan Negeri tidak dapat berfungsi dengan berkesan kerana pengaruh eksekutif yang tidak sihat.
Peja “rampas dewan”, elak undi tak percaya
Beliau turut menyebut usul undi tidak percaya terhadap kedudukan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar. Adalah dipercayai Ahmad Faizal bertindak “merampas Dewan” untuk mengelakkan usul itu dibincangkan.
Pihak UMNO berkemungkinan tidak mahu usul itu diteruskan kerana dua jam sebelum sidang bermula tiga Adun UMNO telah dilantik sebagai EXCO menjadikan jumlahnya 6 orang. 
Walauapapun, insiden yang berlaku di DUN Perak ini amat memalukan, terutama dalam keadaan rakyat di luar sedang bergelut dengan keperitan hidup akibat pandemik Covid-19.
Kita juga berasa hairan dengan tindakan Ahmad Faizal. Seorang menteri besar tidak harus bertindak sedemikian. Sikap gelojoh, gila kuasa dan tidak sabar itu semacam memberi gambaran betapa pentadbiran yang ada tidak peduli peraturan dan ketertiban, apalagi dalam keadaan pihak speaker sanggup melepaskan jawatannya. 
Jelas juga menunjukkan betapa pentadbiran PN sedang bergoncang dan tidak ada kesatuan.
Lebih serius lagi insiden ini menunjukkan betapa pentadbiran PN sanggup mencemari kedudukan tidak memihak (neutral) perkhidmatan awam demi kepentingan politik peribadi. 
Menteri Besar Ahmad Faizal wajar meminta maaf kepada rakyat dan institusi DUN atas tingkah lalu yang menjatuhkan martabat Dewan Undangan Negeri Perak..