Zukri Aksah
Kita tahu Dr. Mahathir bin Mohamad pernah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi BERSATU Malaysia, adalah drama selepas itu katanya MPT Bersatu menolak perletakan jawatan Mahathir dan Mahathir menerima kembali jawatan tersebut. Tetapi kesudahannya? Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu memangku jawatan Pengerusi. Apa yang berlaku?
Seperti diterangkan Muhyiddin sendiri, jawatan Pengerusi boleh gugur sama ada seseorang itu berhenti atau diberhentikan dari jawatan tersebut. Maksudnya bila seseorang itu berhenti dengan inisiatif sendiri sebagai Pengerusi Bersatu, maka pemberhentian itu sah, jawatan tergugur, tanpa perlu mendapat persetujuan atau penolakan MPT. Dalam kes Mahathir, jawatannya sebagai Pengerusi telah gugur walaupun MPT menolak. Sepanjang drama politik Mahathir itu, tiada surat penarikan balik perletakan jawatan yang dikemukakan olehnya. "Menerima kembali jawatan Pengerusi" tidak boleh dipakai kerana Pengerusi bukan jawatan lantikan.
Menyedari akan implikasi undang-undang yang mungkin timbul, Muhyiddin akhirnya mengumumkan bahawa Mahathir bukan lagi Pengerusi Bersatu dan dia sebagai Presiden memangku jawatan Pengerusi tersebut, sampai hari ini.
Memang Mahathir telah menang jawatan Pengerusi tanpa bertanding, tetapi ini untuk penggal baharu, bukan penggal sekarang. Penggal baharu hanya bermula selepas Perhimpunan Agung Tahunan. Perhimpunan Agung Tahunan mana-mana organisasi pun akan tertangguh lama akibat wabak Covid-19. Jadi pada masa ini, penggal ini, Muhyiddin adalah Presiden yang memangku jawatan Pengerusi Bersatu. Muhyiddin mempunyai kuasa yang sangat besar dalam partinya, sedang Mahathir terpinga-pinga tanpa ada apa-apa.
Tetapi nun di negeri utara, nasib anak Mahathir sedang diperkira untung-ruginya. Mahathir tidak boleh duduk sahaja, dengan kudrat tua dia mesti melawan juga. Pada siapa dia mahu mengharap jasa? Azmin dan kumpulan yang dimanjakannya dahulu? Jeling sebelah mata pun mereka loya. Mereka ini sudah jadi nomad kuasa. Usah kata mahu menolong Mahathir, Azmin sendiri bila dihentam teruk oleh pimpinan Umno dan sebahagian Bersatu, tiada seorang pun dari kalangan "kawan-kawan" Azmin dahulu yang kini semuanya berjawatan tinggi melolong mempertahankan Azmin, jauh besanya ketika dalam Keadilan dahulu... kecuali si Pemuda Negara yang punya masalah identiti itu, entah logo mana yang dirembat pun tak tahu, nak kata logo MUNA Daulat pun bukan, nak kata logo nasi kandar pun bukan, ada juga yang kata logo Proton Saga.
Lalu Mahathir tanpa rasa malu beralih semula kepada Anwar Ibrahim, beralih semula kepada Pakatan Harapan, mengharap ehsan atau mencari ruang?
Yang boleh saya kata adalah Padan Muka! Bukan pada kuasa letaknya kemuliaan. Mahathir, seorang yang sangat obses dengan kekuasaan sedang dihina, dimalu dan di"checkmate" oleh kumpulan Muhyiddin. Adakah saya harus kasihan? Pada saya lebih elok ditinggalkan Mahathir sendirian, biar dia menghadam pengajaran.