Kenyataan Media: PENGUMUMAN KEHABISAN DANA ERP PADA HARI PEKERJA AMAT MENGEJUTKAN



Kenyataan Media

2 Mei 2020

PENGUMUMAN KEHABISAN DANA ERP PADA HARI PEKERJA AMAT MENGEJUTKAN

Dalam pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang mana kerajaan memperuntukkan RM120 juta untuk membiayai RM600 sebulan bagi pekerja yang cuti tanpa gaji.

Malangnya, kenyataan PERKESO pada 1 Mei 2020 telah memaklumkan bahawa permohonan yang dibuat selepas 27 April 2020 adalah tidak layak untuk menikmati bantuan kewangan ini. Menurut PERKESO, dana RM120 juta itu hanya mengambil kira bantuan kewangan untuk tempoh sebulan bagi 200,000 pekerja (200,000 x RM600). Akan tetapi, PERKESO telah menerima sebanyak permohonan yang melibatkan seramai 230,652 pekerja. Dalam kata lain, dana tersebut telah habis digunakan dan tidak cukup untuk menampung permohonan-permohonan yang dihantar.

Saya amat terkejut dengan pengumuman PERKESO tersebut secara tergesa-gesa dan tidak terancang. Kehabisan dana tanpa sebarang pelan tambahan dan penjelasan akan mencalarkan kredibiliti pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN yang diumumkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Pengumuman tersebut juga tidak mengambil kira ribuan pekerja yang susah sekarang dan mengharapkan pekerjaan mereka dapat dikekalkan. Dalam situasi kritikal ini, tindakan sebegini umpama satu penghinaan kepada warga pekerja, apatah lagi ianya diumumkan sempena Hari Pekerja.

Penamatan ERP selepas 27 April 2020 merupakan satu lagi penganiayaan Perikatan Nasional bukan sahaja terhadap golongan pekerja tetapi juga kepada majikan PKS. PKS-PKS seperti Lee Beauty Saloon, Mi Kolok Hj Salleh dan Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd. yang disebut dalam ucapan Muhyiddin Yassin akan turut terjejas kerana mereka tidak dapat lagi mengekalkan pekerja mereka melalui skim tersebut yang telah dijanjikan sebelum itu.

Saya menggesa Menteri Kewangan Tengu Zafrul dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan tampil dan menjelaskan kepada rakyat mengapa keputusan tersebut boleh dibuat secara terkejut, mengapakah dana tambahan tidak boleh diperuntukkan lagi? Dalam situasi yang mana sekurang-kurangnya 230 ribu pekerja terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, Kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dan buat pusingan-U lagi.

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN