KENYATAAN BERSAMA PAKATAN HARAPAN, BERSATU DAN WARISAN



14 Mei 2020

TIADA SIDANG PENUH MENDUKACITAKAN, TAPI USAHA MENGEMBALIKAN MANDAT RAKYAT DITERUSKAN

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan mengambil maklum bahawa YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis telah mengarahkan agar Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 berlangsung dengan hanya Titah Diraja, tanpa persidangan penuh, dengan alasan wabak Covid-19 belum reda.

Arahan ini amat dikesali dan cukup mendukacitakan, kerana Parlimen seharusnya berfungsi sebagai wahana bagi suara rakyat dan tiang seri demokrasi.

Ini juga merupakan kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia di mana sebuah majlis mesyuarat berjalan tanpa sidang penuh.

Tindakan ini semestinya akan dilihat oleh rakyat sebagai keengganan Perdana Menteri berhadapan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang.

Pada masa yang sama, kami juga amat terkejut dengan pengumuman penukaran Setiausaha Dewan Rakyat berkuatkusa 13 Mei, iaitu hanya lima hari sebelum Parlimen akan mendengar Titah Diraja. Tindakan ini amat membimbangkan kerana menimbulkan persepsi wujud pengaruh tidak wajar oleh pihak-pihak tertentu terhadap institusi Parlimen.

Walau apapun, usaha Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya tidak terkesan akibat arahan-arahan ini, dan akan diteruskan.

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ketua Pembangkang

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

YB Tun Dr Mahathir Mohamad
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

YB DS Shafie Apdal
Parti Warisan Sabah (WARISAN)

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1181748508842386&id=197799207237326