JIKA DIJATUHKAN, MUHYIDDIN TAK MUNGKIN MOHON PARLIMEN DIBUBARKAN


Antara kelebihan yang dikatakan ada pada Muhyiddin Yassin jika beliau kalah dalam usul undi tidak percaya atau PN ditumbangkan dalam waktu terdekat ini ialah pilihan untuk membubarkan Parlimen.
Ramai yang meyakini Muhyiddin akan menggunakan kelebihan yang ada padanya itu dan dengan demikian PH tidak dapat sesegera itu menjadi kerajaan semula.
Lebih daripada itu, ada juga yang berkata, usaha untuk melihat hadirnya seorang Perdana Menteri baru jika Muhyiddin dijatuhkan adalah sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku berikutan kelebihan untuk membubarkan Parlimen tersebut.
Tambah mereka lagi, usaha menjatuhkan Muhyiddin atau PN sebenarnya hanyalah kerja sia-sia saja buat PH atau Tun Mahathir Mohamad kerana yang muncul akhirnya adalah pilihanraya umum secara mengejut, bukan pertukaran kerajaan.
Muhyiddin, jelas mereka yang mempunyai keyakinan sedemikian yang rata-rata adalah penyokong Perdana Menteri, UMNO dan Pas, tidak akan membiarkan dirinya dijatuhkan begitu saja tanpa berbuat apa-apa.
Memohon kepada Agong untuk pembubaran Parlimen adalah kelebihan dan pilihan yang dikatakan terbaik buat Muhyiddin agar beliau dapat menjaga air mukanya bila kalah dalam usul undi tidak percaya dan kemudian sama-sama bersaing semula untuk menjadi Perdana Menteri.
Adakah benar itu yang mungkin dilakukan oleh Muhyiddin?
Dalam keadaan biasa, memang diakui itulah pilihan paling logik untuk diambil oleh Muhyiddin.
Tetapi, dalam keadaan luar biasa seperti sekarang ini, adakah Muhyiddin cukup keberanian untuk membubarkan Parlimen?
Sekurang-kurangnya ada empat keadaan luar biasa sedang membelenggu dan tidak memihak kepada Muhyiddin jika beliau memilih untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam waktu terdekat ini.
Pertama, Bersatu sedang parah berpecah belah dan perseteruannya dengan kem Tun Mahathir Mohamad ketika ini tengah berada di kemuncaknya.
Oleh kerana difahami kira-kira 90 peratus orang Melayu yang masuk menjadi ahli Bersatu adalah kerana Tun Mahathir dan bukan disebabkan Muhyiddin, berapa peratus keyakinannya mampu mencipta kemenangan jika diadakan pilihanraya umum?
Lebih penting, sesiapa pun yang menjadi Perdana Menteri, apabila mengambil keputusan membubarkan Parlimen, keutamaan dan keyakinan tertinggi ialah untuk menang, bukan sebagai pelarian kerana kalah dalam usul undi tidak percaya yang lebih mungkin menyebabkan kalah kemudiannya.
Adakah dalam situasi Bersatu sedang berpecah dan kemungkinan kalah lebih tinggi berbanding menang, wajar bagi Muhyiddin berdepan dalam pilihanraya?
Kedua, Perikatan Nasional atau PN bukan saja belum didaftarkan, malah banyak parti-parti dalam kerajaan sekarang ternampak tidak sedia dengan pendaftaran gabungan tersebut.
Oleh itu, jika pilihanraya umum diadakan, Muhyiddin dan kem dalam Bersatu yang ada bersamanya mahu bertanding atas tiket apa?
Ketiga, melalui kenyataan beberapa pemimpin utamanya seperti Najib Razak, Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, UMNO dengan jelas mahu meninggalkan Bersatu dalam PRU15 akan datang, sebaliknya hanya ingin bekerjasama dengan Pas saja melalui Muafakat Nasional atau MN.
Walaupun dalam kerajaan, UMNO berada di bawah Muhyiddin dan Bersatu, tetapi dari sudut politik PN yang tidak didaftarkan, khususnya disebabkan BN adalah blok terbesar dengan jumlah 43 Ahli Parlimen, parti itu adalah “abang besar” yang sebenar-benarnya dalam gabungan tersebut.
Jika UMNO tidak setuju dengan sesuatu perkara, apa cadangan pun berkaitan PN tidak akan menjadi kenyataan.
Tujuan UMNO hanya mahu bekerjasama secara sementara dengan Muhyiddin dalam kerajaan PN dan bukan sehingga pilihanraya akan datang adalah kerana kedua-dua parti Melayu itu bertanding di kawasan yang sama dalam pilihanraya.
Melalui kerjasama dengan Pas pun soal pembahagian kerusi dijangka rumit untuk diselesaikan oleh UMNO, membawa sekali Bersatu tentulah akan perbincangan tiga pihak bertambah-tambah kronil jalan penyelesaiannya.
Maka, meninggalkan Bersatu dan menumpukan kepada Pas saja adalah pilihan terbaik dan ideal bagi UMNO, sesuai dengan keinginan parti untuk berkuasa semula secara dominan sebagai ketua dalam kerajaan.
Lagi pula, berbanding Pas yang mempunyai akar umbi serta jentera pilihanraya yang lebih kuat berbanding Bersatu yang ditafsirkan banyak pihak hanya sebagai “parti sepenggal” saja, mendakap erat parti Islam itu dan melepaskan pelukan Bersatu yang kini berpecah hampir merupakan keputusan yang tidak dapat dielakkan lagi buat UMNO.
Akhirnya, dengan ditinggalkan UMNO serta BN dan tidak pula dipedulikan oleh Pas, Muhyiddin dan geng Bersatu mahu bertanding atas kekuatan apa untuk berhadapan dengan PH?
Selain itu, sebagai faktor keempat, meskipun memohon kebenaran membubarkan Parlimen adalah kelebihan yang ada di tangan Muhyiddin sekiranya beliau kalah dalam usul undi tidak percaya, namun keputusan akhirnya adalah di atas budi bicara Yang Dipertuan Agong.
Dengan PRU14 baru saja diadakan pada Mei 2018, negara masih diancam bahaya Covid-19 dan soal ekonomi masih perlu ditangani dengan serius, besar kemungkinan Yang Dipertuan Agong akan menolak permohonan membubarkan Parlimen yang dipohon oleh Muhyiddin.
Sebagai ketua negara, Yang Dipertuan Agong tentu lebih setuju pertukaran kerajaan tanpa kos serta beban kepada kewangan negara berbanding mengadakan pilihanraya yang bukan sedikit belanjanya.
Tolak campur darab bahagi, jika ditakdirkan jatuh terlentang dalam waktu terdekat ini, pilihan paling munasabah dan terpuji diambil Muhyiddin ialah berundur secara baik serta menyerahkan kepada penggantinya yang ada sokongan majoriti mengurus negara ini, bukannya memohon pembubaran Parlimen.
Setidak-tidaknya dengan bersara secara baik, kemudian berehat bersama keluarganya, Muhyiddin sudah ada rekod pernah juga merasa duduk sebagai Perdana Menteri, walaupun dengan tambahan “kecemerlangan” hanya dalam tempoh paling singkat dalam sejarah negara.
Dan, itu tentulah jauh lebih baik berbanding jika memanggil pilihanraya umum mengejut dan kemudian kalah teruk akibat dibiarkan bertanding sendirian serta tidak disokong oleh rakan-rakan sendiri.

 (Shahbudindotcom 31/05/2020)