Semalam, 09 Mei 2020 rakyat merayakan hari ulangtahun kedua "kematian" Umno sebagai parti tunjang pemerintah di Putrajaya. Sehingga kini Umno masih tidak bangkit kecuali rohnya yang tergantung di awangan meresap masuk merasuk ke dalam kerajaan pintu belakang pengkhianat.
Rekod dan sejarah diukir sepanjang zaman bahawa satu-satunya parti yang berjaya mencabut nyawa Umno dan Bn di Putrajaya adalah gabungan PH. Sejarah turut mengukir nama Umno sebagai sebuah parti yang menjadi sebahagian dari kerajaan di Pusat tanpa mandat rakyat. Di situ bermulalah sejarah Umno yang dilihat hilang maruah dan jati dirinya. Umno yang dulu dilaungkan sebagai parti keramat kini hanya dikenali sebagai parti khianat.
Selama ini mereka menuduh Dap komunis atau kapir harbi, paling tidak Dap lebih bermaruah kerana tidak pernah mencuri mandat rakyat. Kerajaan Dap di P.Pinang tidak pernah menjadi kerajaan tanpa mandat rakyat. Dap kuburkan Gerakan dan Bn di P.Pinang bermula tahun 2008 adalah hasil dari mandat rakyat. Maruah Dap lebih terserlah berbanding Umno dan Pas di dalam aspek menjunjung demokrasi.
Semalam, kita merayakan hari sedih dan malang Umno/Bn. Umno sepatutnya mengadakan majlis tahlil arwah mereka, tetapi mungkin kerana wabak Covid-19, mereka tidak dapat lakukan.
PH berjanji kepada rakyat agar menentukan Umno akan bersemadi selama-lamanya. Biarpun roh jahat mereka masih berkeliaran bersama kerajaan pintu belakang sekarang, kita penuh yakin akan dapat menghalau roh jahat itu kembali ke pusaranya agar lebih tenang di sana.
Apa yang telah dapat kita buktikan adalah tanpa Umno, orang-orang Melayu dan Islam masih makan nasi bukan makan ubi kayu seperti yang selalu mereka dendangkan.
Kerajaan sekarang adalah kerajaan tidak bernama. Bukan kerajaan Bn, bukan juga kerajaan Muafakat Nasional, bahkan bukan kerajaan Pengkhianat Nasional (PN) kerana nama PN itu pun tiada dalam fail di ROS. PN tidak pernah wujud di dalam kertas undi, jauh sekali logo parti sewaktu di dalam PRU14 yang lalu. Satu-satunya kerajaan yang tidak mempunyai manifestonya.
PM sekarang adalah Wakil Rakyat yang menang pada PRU14 dengan menggunakan logo Keadilan. Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh hidup tanpa maruah? Jika dahulu beliau sanggup dipecat dari Umno kononnya atas dasar prinsip dan maruah, tetapi kini maruahnya telah berjaya direntap oleh Umno apabila beliau sanggup bersekongkol dengan parti keris telanjang tidak bersarung itu demi kepentingan serta nafsunya sendiri.
WFAUZDIN NS