Buka PKP, mungkin wujud PKP lebih ketat selepas ini?
Melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal menimbulkan risiko kawalan lebih ketat diperkenalkan pada masa hadapan sekiranya wabak Covid 19 mengganas semula
Para pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan meringankan PKP dengan membenarkan perniagaan dibuka semula 4 Mei depan secara tergesa-gesa boleh mengundang musibah lain.
Menurut pengarah eksekutif di Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial, Azrul Mohd Khalib, orang ramai mungkin terkeliru dengan tatacara operasi standard yang dikeluarkan dalam jangka masa yang pendek
“Ini boleh mengakibatkan Malaysia beralih dari satu PKP kepada PKP lain beberapa bulan kemudian,” katanya dipetik FMT.
Mengatakan Putrajaya secara mendadak keluar daripada PKP semasa daripada membentangkan suatau pelan tindakan yang jelas dan padu, beliau berkata lebih baik juga pengumumman dibuat selepas 12 Mei, apabila lanjutan terbaru PKP dijadualkan tamat.
“Ini akan memberikan sekurang-kurangnya 1 minggu untuk buat persiapan.”
Membandingkan pengumuman hari ini dengan pengumuman PKP sebelum 18 Mac, beliau berkata keputusan pertama menyebabkan keadaan kelam-kabut kerana notis pendek dan orang ramai tidak faham.
Perkara itu berlaku “juga dalam kalangan pihak berkuasa yang menguatkuasakan PKP,” tambahnya.
Mengenai langkah terbaru, katanya, SOP harus boleh didapati dengan mudah di satu laman sesawang untuk rujukan dan kegunaan orang ramai.
“Kekurangan dari segi persediaan akan menyebabkan pelaksanaan SOP kurang berjaya, meningkatkan risiko, kekecewaan, konflik, ketegangan dalam masyarakat, dan paling penting, peningkatan jangkitan dan penularan penyakit.”
Dr Ng Kim Fong, presiden Persatuan Doktor-doktor Johor yang mengutip dana untuk pengeluaran kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk petugas barisan depan, juga bimbang dengan potensi gelombang ke-3 kes Covid-19.
Beliau berkata meringankan sekatan PKP akan menyebabkan peningkatan kes.
“Masalahnya, kita perlu buat lebih banyak ujian,” tambahnya.
Ng, seorang ahli kardiologi di sebuah hospital di Johor, antara negeri yang teruk terkesan dengan pandemik virus itu, berkata PKP harus diteruskan sehingga 12 Mei mengikut jadualnya.
“Kebanyakan pekerja penjagaan kesihatan bimbang,” katanya. “Bagaimanapun, ini akan jadi normal baru.”
“Orang ramai mesti terus mengamalkan penjarakkan sosial, pakai topeng, dan basuh tangan dengan kerap.”