Apa punya jenis kerajaan Parlimen bersidang beberapa jam?
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathri Mohamad meluahkan rasa marahnya selepas kerajaan Melayu Perikatan Nasional memutuskan sidang Dewan Rakyat hanya akan berlangsung tidak sampai setengah hari, berbanding jadual awal.
Katanya, tindakan menyingkatkan sidang berkenaan berbanding sehari mengikut jadual awal dilihat sebagai percubaan untuk menghalang ahli parlimen bercakap.
Menurut Mahathir, beliau tidak dibenarkan bersuara walaupun atas kapasitinya sebagai ahli Dewan Rakyat.
“Jangankan sebagai orang ramai, ahli dewan pun tak boleh bercakap dalam Dewan (Rakyat). Jadi, apa jenis kerajaan ini, yang mana ahli dewan tak boleh bercakap.
“Ada sidang berlangsung pun tak boleh bersuara, sehingga kita menjadi sebuah kerajaan yang sebenarnya tidak sah,” katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik di media sosial beliau semalam.
Ulasan itu dibuat Tun Mahathir selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan pihaknya menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, selaku ketua Majlis Dewan Rakyat.
Menurut Mohamad Ariff, Muhyiddin memberitahu kerajaan memutuskan tiada sidang diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah diraja pada pagi 18 Mei ini.
Asalnya kerajaan menetapkan sidang Dewan Rakyat diadakan selama sehari.
Dengan keputusan terbaru itu, sidang akan ditangguhkan selepas Agong menyampaikan titah diraja.
Kata Mahathir biasanya selepas Agong menyampaikan titah ia akan dibahaskan dan kemudian diundi untuk diterima. Namun katanya dengan ketetapan terbaru itu kelaziman berkenaan tidak lagi berlaku dan perjalanan Dewan tidak menepati syarat yang sepatutnya.
“Sekarang saya diberitahu, walaupun speaker bersetuju untuk saya membawa suatu usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, sekarang kita tak boleh membahaskannya pada hari itu.
“Usul-usul kerajaan juga tidak akan dikemukakan.
“Jadi apa dia mesyuarat ini? Untuk kita cuma dengar ucapan kerajaan melalui Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan mesyuarat parlimen.
“Apabila kita minta untuk (diadakan sidang dewan) lapan hari pun tak diberi,” katanya lagi.
Tambah Mahathir, terpulang kepada pakar perundangan untuk menentukan sama ada sidang sehari dilakukan kerajaan PN pada 18 Mei ini sah mengikut peraturan.
Sementara itu seorang peguam, Rafique Rashid Ali, berpendapat hujah Mahathir itu adalah tepat dari segi perundangan.
Katanya, apabila seorang ketua Majlis Dewan Rakyat menggunakan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat hanya selepas beliau mengetahui wujud undi tidak percaya terhadapnya maka secara langsung bermaksud perdana menteri terbabit mengelak daripada undi tidak percaya.
“Justeru, secara automatik perdana menteri sudah tahu dia tidak ada cukup bilangan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Rafique lagi Malaysia mencontohi model sistem parlimen Westminster dan sesebuah kerajaan mesti mendapat kepercayaan bagi menjadi pentadbir.
“Dengan menolak untuk menghadapi ujian berkenaan, perdana menteri dianggap tidak mendapat sokongan majoriti,” katanya.