Zailah tidak layak jadi Timbalan Menteri, kata Pemuda MCA

Zailah tidak layak jadi Timbalan Menteri, kata Pemuda MCA


Pesanan dan nasihat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff tentang tips berhadapan tekanan dalam keluarga dilihat bukan sahaja mengundang rasa kesal warganet, malah turut di bidas oleh Pemuda MCA.
Dalam ciapan twitternya hari ini, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting berkata, Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri KPWKM.
“Maaf cakap, Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri KPWKM
“Hanya berdiam diri terhadap sikap kasar suami? Ini tidak boleh diterima,” tulis beliau.
Semalam, menerusi video berdurasi 5 minit 18 saat yang dimuatnaik di Instagram Siti Zailah berkata, dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari ini, suasana dalam masyarakat dilihat semakin mencabar.
“Mungkin ada tekanan yang dialami dalam keluarga, permasalahan dalam rumah tangga dan berlakunya keganasan dalam rumah tangga.
“Itu mungkin satu perkara yang wujud hasil daripada tempoh PKP yang panjang. Sebagai langkah untuk menangani permasalahan dalam rumah tangga, saya ingin kongsi tiga tips atau cara untuk berdepan dengan masalah ini.
“Cadangan pertama adalah daripada sudut fizikal. Kaedah kedua pula daripada sudut mental manakala tips ketiga daripada sudut spiritual,” katanya seperti dipetik dalam video itu.
Namun, nasihat dan tips yang diberikan itu mendapat kritikan segelintir warganet yang melayari Instagram beliau.