Turki terima pelarian, Malaysia benci Rohingya?
Kredit: Jamzuri Ardani
Terdapat sekitar 4 juta pelarian Syria di Turki sejak negara Syria dilanda perang pada tahun 2011. Kehadiran pelarian Syria di Turki tidak disukai oleh kebanyakan rakyat Turki. Selain dari beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh Turki, banyak juga isu-isu yang menimbulkan rasa kurang senang rakyat Turki terhadap pelarian Syria. Budaya mereka berbeza, bahasa mereka berbeza, dan mereka juga mempunyai sejarah yang kurang baik antara kedua pihak.
Syria adalah antara wilayah yang memberontak menentang pemerintahan Uthmaniyyah Turki. Orang Syria pernah bekerjasama dengan Inggeris dan Perancis untuk membebaskan diri dari penguasaan Uthmaniyyah Turki.
Seperti juga negara-negara Eropah lain yang menerima pelarian Syria, terdapat banyak aduan yang melibatkan perlakuan jenayah dan anti-sosial di kalangan komuniti pelarian Syria ini. Di Jerman misalnya, terdapat kes rogol melibat wanita tempatan yang menjadi mangsa serangan seks lelaki warga Syria yang berlindung di Jerman yang mencetuskan bantahan rakyat Jerman. Perkara yang sama juga berlaku di Turki.
Saya fikir masalah serupa juga berlaku di Malaysia melibatkan komuniti Rohingya yang melarikan diri ke Malaysia. Kalau ditanya kepada rakyat Malaysia, hampir pasti majoriti rakyat tidak mahu menerima pelarian ini dan mahu mereka dihantar pulang. Ini jugalah yang dimahukan oleh majoriti rakyat Turki dan Eropah bila ditanya pandangan mereka tentang pelarian Syria.
Tetapi Erdogan and Angela Merkel bertegas tetap mahu menerima masuk pelarian Syria untuk dilindungi di negara mereka. Ianya memang membebankan dari sudut politik, kewangan, dan sosial negara tuan rumah.
Tetapi itulah ketamadunan dan itulah kemanusiaan. Ibarat melepaskan anjing tersepit. Kita mungkin dilihat bodoh melepaskan anjing yang tersepit yang kemudiannya menggigit kita, tetapi tidak ramai juga manusia yang sanggup membiarkan anjing yang tersepit itu terus sahaja dibiar mati dalam keadaan tersepit.
Tidak kita nafikan, menerima pelarian dari negara luar yang berkonflik bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ianya mendatangkan beban yang besar dari semua sudut.
Tetapi apakah beban itu lebih besar dari beban perasaan kemanusiaan akibat membiarkan pelarian itu terus terapung dan mati dilautan?
Ini adalah persoalan yang perlu kita fikir dan teliti bersama. Saya percaya, pasti ada keseimbangan antara dua mudharat besar ini untuk negara kita bertindak secara kolektif.