Tugas Mencabar Duta Khas ke Timur Tengah‬


Malek Hussein

‪Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri pada 2 April 2020 memaklumkan bahawa PM Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Haji Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.‬

‪Kenyataan itu tidak menyebut samada Haji Hadi telah bersetuju menerima pelantikan itu atau sebaliknya. Walaupun demikian, aku andaikan MP Marang itu telah bersetuju dengan pelantikan itu. Lagipun, hingga ke hari ini, tiada reaksi Haji Hadi menolaknya.‬

‪Kenyataan itu menyebut bahawa Duta Khas Perdana Menteri itu bertaraf Menteri. Jawatan itu disebut bertaraf Menteri.‬

‪Hakikatnya, Haji Hadi tidaklah seorang anggota Jemaah Menteri melainkan terdapat pengesahan bahawa Presiden PAS itu telah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dan telah mengangkat sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.‬

‪Oleh yang demikian, sebagai bukan anggota Jemaah Menteri, beliau tidak bertanggungjawab langsung ke Parlimen. Beliau tidak juga bertanggungjawab kepada Menteri Luar Negeri, tetapi kepada Perdana Menteri.‬

‪Peranan Duta Khas ke Timur Tengah tentu sekali berbeza dengan peranan Duta-duta Khas lain seperti Samy Vellu, Ong Ka Ting, Tiong King Sim dan Tan Kok Wai.‬

‪Kedudukan Duta Khas itu meletakkan Haji Hadi setaraf dengan pelantikan-pelantikan yang terdahulu sebelumnya seperti berikut:‬

‪▪️Bekas Presiden MIC Samy Vellu dilantik sebagai Duta Khas infrastruktur bagi India dan rantau Asia Selatan oleh PM Najib Razak pada 1 Januari 2010.‬

‪▪️Bekas Presiden MCA Ong Ka Ting dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China oleh PM Najib pada 22 Oktober 2011.‬

‪▪️Tiong King Sing yang kini Presiden SPDP telah dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Jauh merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan oleh PM Najib pada 3 Januari 2014.‬

‪▪️Pengerusi DAP Tan Kok Wai dilantik sebagai Duta Khas ke China oleh PM Mahathir Mohamad pada 1 Ogos 2018.‬

‪Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri pada 2 April 2020 yang memaklumkan pelantikan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri tidak pula menyebutkan gaji bulanan yang akan dibayar dari dana awam.‬

‪Aku membaca rekod-rekod Senarai Perjawatan Kerajaan Persekutuan berkenaan Duta-Duta Khas yang dilantik dahulu. Aku dapati, hanya Tan Kok Wai tidak disenaraikan menerima gaji.‬

‪Selainnya, iaitu Samy Velu, Ong Ka Ting dan Tiong Sim King menerima gaji menurut Senarai Perjawatan dengan Gred Gaji VU6 semaksima RM22,445.00 sebulan dengan kenakan gaji pada kadar 9% setahun. Namun, sebenarnya mereka dibayar gaji RM27,227.20 sebulan.‬

‪Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah layak dibayar gaji mengikut kadar Gred Gaji VU6 semaksima RM22,445.00 atau mungkin RM27,227.20 sebulan. Selain sumber pendapatan lain sebagai Ahli Parlimen, pesara Menteri Besar dan Elaun-elaun Keraian, Perumahan dan Parkir, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu akan boleh memperolehi pendapatan berjumlah ‬melebihi RM85,000 sebulan atau lebih RM1,000,000 setahun.‬

‪Seperkara serius yang aku perhatikan dari kenyataan media Pejabat Perdana Menteri ialah ia tidak menyebutkan peranan, tanggungjawab dan tugas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri itu. Tidak juga dinyatakan tempuh perkhidmatannya.‬

‪Seperkara lagi, jawatan Duta Khas ke Timur Tengah itu meliputi rantau yang terlalu luas dan berbagai negara.‬

‪Menyebut Timur Tengah terlalu umum jika tiada definisi negaranya. Pengertian Timur Tengah atau “Middle East” kepada media, intelektual dan diplomat Barat, maksudnya turut dikongsi dalam dunia Arab yang menyebutkan sebagai “ash-Sharq al-Awsat”. Konsep diplomasi Timur Tengah moden mula diperkenalkan oleh Kerajaan USA pada tahun 1957 nenerusi Doktrin Eisenhower berikutan krisis Terusan Suez.‬

‪Dunia Barat dan Arab menerima pengertian Timur Tengah itu meliputi 17 negara dan satu wilayah daulah UK. Ia merangkumi Arab Saudi, Bahrain, Cyprus, Iran, Iraq, Israel, Jordan, Kuwait, Lubnan, Mesir, Oman, Palestin, Qatar, Syria, Turki, UAE, Yaman, dan termasuk juga Akrotiri dan Dhekelia (wilayah United Kingdom di Cyprus).‬

‪Peranan Duta Khas ke Timur Tengah tentu sekali tidak termasuk Israel kerana Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv. Timur Tengah dalam konteks Malaysia boleh diandaikan melibatkan negara-negara rantau tersebut yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia atau yang kita mempunyai kedutaan.‬

‪Dalam konteks geopolitik, Timur Tengah merupakan rantau yang paling panas suhu sengketa dalam politik dunia. Perang belum berakhir di Syria dan Yaman. Perbalahan antara Iran dan Arab Saudi hampir menuju ke arah perang. Hampir tiada negara di Timur Tengah yang tak terpalit dalam konflik, samada secara langsung atau secara proksi.‬

‪◾️Aku melihat peranan Duta Khas ke Timur Tengah bukan untuk mencari pasaran baru untuk menjual minyak sawit. Itu bukan kerja  orang yang pernah menjadi Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Itu kerja Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali,  Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama dua orang Timbalan Menterinya,‬

‪◾️Aku tidak nampak fungsi Duta Khas ke Timur Tengah berperanan untuk menarik pelabur ke Malaysia. Itu bukan kerja orang yang dikatakan antara 500 Muslim berpengaruh dunia bagi kategori pendakwah. Itu kerja Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama seorang Timbalan Menterinya.‬

‪◾️Aku sangsi jika peranan Duta Khas ke Timur Tengah ialah untuk menanggani krisis penaklukan dan pencerobohan Zionis Israel di Palestin. Itu bukan kerja seorang Presiden PAS atau Ahli Parlimen Marang. Itu kerja Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri bersama seorang Timbalan Menterinya.‬

‪Maka, apakah sewajarnya peranan dan tugas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah?‬

‪Aku melihat Duta Khas ke Timur Tengah itu boleh memainkan peranan dalam beberapa isu dan masalah serius.‬

‪🔴 Malapetaka COVID-19 ‬

‪Semua negara Timur Tengah tidak terkecuali menerima padah wabak COVID-19. Paling teruk sekali di Timur Tengah dari segi jumlah kes ialah Iran. Dalam situasi Iran ditekan dengan sekatan Amerika Syarikat, Duta Khas ke Timur Tengah boleh memainkan peranan bagi meringankan penderitaan rakyat Iran yang mengharapkan sokongan antarabangsa bagi menghadapi COVID-19.‬

‪Palestin khasnya Gaza juga tertekan akibat COVID-19 berikutan sekatan Israel, terutama sekali Semenanjung Gaza yang disekat laluan darat, udara dan laut oleh Israel. Duta Khas ke Timur Tengah boleh berperanan membantu bagi membolehkan bantuan masuk terutama ke Gaza menerusi diplomasi Turki dengan Israel.‬

‪🔴 Perang Yaman‬

‪Perang di Yaman telah memakan korban awam yang sebegitu ramai rakyat Yaman berikutan serangan-serangan udara Arab Saudi. Sungguhpun Yaman belum terdedah kepada ancaman COVID-19, perang yang berterusan telah mendedahkan Yaman kepada malapetaka taun yang dahsyat akibat kemusnahan teruk prasarana, hospital, pembentungan dan bekalan air bersih.‬

‪Duta Khas ke Timur Tengah sewajarnya menggunakan pengaruhnya dengan Arab Saudi untuk menghentikan serangan dan menjalankan peranan diplomasi bagi menamatkan perang di Yaman.‬

‪🔴 Tahanan Politik Mesir‬

‪Ramai penyokong-penyokong Morsi dibunuh setelah Morsi diguling sebagai Presiden Mesir dalam rampasan kuasa tentera. Human Rights Watch melaporkan, lebih 40,000 para penyokong Morsi kini merengkuk dalam penjara menjadi tahanan politik.‬

‪Sebagai ulama lulusan Azhar yang dikatakan berpengaruh, Duta Khas ke Timur Tengah wajar diberikan peranan untuk mempengaruhi pemerintah Mesir akan membebaskan tahanan politik.‬

‪🔴 Kehadiran Tentera US‬

‪Dunia umumnya ketahui, Amerika Syarikat telah lama membina pengkalan tentera di merata Timur Tengah dan menempatkan 60,000 bala tenteranya di negara-negara seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Iraq. Kehadiran tentera US itu adalah antara punca ketegangan dan ancaman perang di rantau Timur Tengah.‬

‪Duta Khas ke Timur Tengah boleh diberi peranan melobi negara-negara yang menjadi tuanrumah agar menamatkan kehadiran bala tentera US di negara masing-masing.‬

‪🔴 Demokrasi di Timur Tengah‬

‪Umum ketahui bahawa banyak negara di Timur Tengah menindas hak asasi rakyatnya dengan menafikan mereka kebebasan asasi untuk memilih kerajaan melalui demokrasi berparlimen. Negara-negara bersistem monarki mutlak berkuku besi seperti Arab Saudi dan Bahrain menindas kebebasan suara dan berdemokrasi terbuka sehingga memenjara dan membunuh rakyatnya yang bersuara seperti kes pembunuhan Jamal Khashoggi.‬

‪Duta Khas ke Timur Tengah wajar diberikan peranan untuk mempromosi amalan demokrasi di negara-negara berkenaan bagi mewujudkan keadilan pemerintah dan kebebasan rakyat dalam sistem berdemokrasi.‬

‪Aku sarankan supaya Duta Khas ke Timur Tengah berperanan aktif dalam menjalinkan diplomasi yang mampu mengharumkan lagi nama baik Malaysia sebagai negara terkemuka berdemokrasi di dunia Islam.‬

‪Duta Khas ke Timur Tengah tidak harus dilantik tanpa peranan yang serius dan aktif. Peranan dan tanggungjawab yang aktif membangunkan kemanusiaan ini akan dengan sendirinya boleh menolak sebarang tohmahan bahawa jawatan Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri hanyalah suatu jawatan bersifat ghanimah politik dengan pemberian gaji dan elaun yang lumayan.‬

‪Jika difikirkan Haji Hadi mampu menggalas tanggungjawab yang lebih mencabar di pentas dunia, kenapa tidak PM Muhyiddin melantik beliau sebagai Duta Khas ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertaraf Menteri?‬

‪Jika dirasakan tanggungjawab Duta Khas ke Timur Tengah terlalu berat dan sukar, aku syorkan PM Muhyiddin menyemak semula pelantikan itu, dan menamakannya ke jawatan yang amat sesuai lagi menepati jiwa nuraninya, iaitu Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). ‬

‪Sekian, aku mencadangkan.‬