Tubuh Majlis Keselamatan Makanan hadapi kekurangan bekalan
Saranan bekas Menteri Pertanian yang juga Ahli Parlimen Pulai Datuk Salahuddin Ayob agar kerajaan Melayu Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan Majlis Makanan Negara wajar diberi perhatian serius.
Pada ketika ini diketahui terdapat barang makanan yang mula naik harga terutama di kawasan pedalaman berikutan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah di bandar besar pun sesetengah barang mentah turut meningkat harga.
Namun bukan hal itu yang menjadi kebimbangan utama sehingga menjadi isu keselamatan. Isu utama ialah ketiadaan langkah yang diambil oleh Menteri Pertanian hari ini dalam menjamin bahan mentah makanan boleh sampai ke pasaran. Telah tular di pelbagai media petani di Cameron Highlands membuang sayur-sayuran mereka kerana tidak dapat dijual pada waktunya akibat PKP. Sayur juga tidak dapat dieksport ke Singapura dalam jumlah yang besar.
Nelayan pula dilaporkan membuang hasil tangkapan kerana permintaan ikan berkurangan akibat penutupan begitu banyak pasar tani dan pasar malam yang selama ini menjadi tempat menjual ikan-ikan segar.
Lebih parah apabila penternak mula berfikir untuk mengurangkan jumlah ternakan. Penternak lembu kecil-kecilan mengadu sukar menyabit rumput akibat diganggu sekatan polis. Penternak ayam dilapor sukar mendapat bekalan jagung dan dedak.
Harga melambung
Akibat langsung daripada isu yang tidak diselesaikan oleh Menteri Pertanian itu adalah besar. Sekiranya PKP tamat pada 15 April maka rakyat akan kembali ke pasar dan pasar raya untuk berbelanja sakan. Kedai makan dan restoran besar akan kembali dibuka. Adakah bekalan bahan mentah mencukupi?
Petani di Cameron tidak akan menyemai benih sayur dalam jumlah biasa kerana khuatir tidak laku jika PKP dilanjutkan, nelayan yang kerugian minyak diesel akibat ikan dibuang ke laut terkial-kial mencari modal untuk turun menangkap ikan, begitu juga ladang ternak yang mengurangkan ternakan. Maka sebaik sahaja PKP tamat harga bekalan makanan mungkin akan melambung kerana permintaan yang tinggi.
Lebih menyukarkan keadaan, Malaysia tidak boleh mengimport dari negara luar. Negara ini banyak mengimport dari Indonesia, Vietnam, Thailand, India dan sebagainya. Kebanyakan negara itu masih dalam PKP. Malah Vietnam jika tidak melaksanakan PKP pun telah melarang beras dieksport. Sedangkan beras keluaran Malaysia hanya cukup menampung 70% permintaan. Itu pun jika petani tidak terfikir untuk mengurangkan penanaman kerana takut tuaian tidak terjual sekiranya PKP disambung.
Cadangan nasihat
Tanpa ditubuhkan Majlis Makanan Negara dari manakah kerajaan PN mahu mendapatkan cadangan-cadangan untuk mempersiapkan diri menghadapi kekurangan bekalan makanan nanti? Adakah satu jawatankuasa ad hoc sebagaimana ditubuhkan pada era BN dahulu mampu menangani masalah? Jawatankuasa ‘terkejut’ itu boleh menyelesaikan masalah dalam jangka pendek. Bagaimanapun Covid 19 masih tiada ubat dan boleh menyerang kembali melalui gelombang ketiga, keempat, kelima dan seterusnya.
Perlu ada penyelesaian tuntas jangka panjang mengenai keselamatan makanan. Jika kerajaan PN masih menggunakan kaedah BN maka kesannya buruknya sama sebagaimana era pentadbiran PM Najib lalu yang ditolak rakyat. Tambahan pula separuh menteri PN berasal dari BN. Maka dalam suasana wabak kerja-kerja membodek oleh jabatan kerajaan dan menyembunyikan fakta adalah perkara yang tidak boleh ditolak akan dilakukan.
Kenyataan pelik
Bayangkan Menteri Pertahanan boleh berkata kenyataan ‘pusat kuarantin Kerajaan Persekutuan di Sabah daif’ sebagai berita palsu. Sedangkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon mengakui kemudahan asas dan tahap kebersihan di beberapa pusat kuarantin milik kerajaan pusat di negeri itu tidak mencapai piawaian dan “tidak boleh diterima”.
Bolehkah Kerajaan Persekutuan mendakwa fakta yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebagai palsu? Hanya pada era BN sahaja hal ini pernah terjadi dan sekarang di bawah menteri BN maka hal seperti itu timbul semula.
Bukankah baru-baru ini lantikan Presiden Pas Hj Hadi yang berkelulusan agama sebagai duta ke Timur Tengah dianggap oleh menteri akan meningkatkan pelaburan sheikh-sheikh Arab ke Malaysia? Sedangkan Hj Hadi tidak mengerti sepatah haram istilah rumit ekonomi dan tidak pernah berbicara mengenai ekonomi. Jika dibiarkan para menteri PN bertindak tanpa nasihat kelak maka dikhuatiri akan berlaku kemerosotan mendadak dalam stok makanan dan menyebabkan negara mengalami kurangan makanan selepas kurangnya kebebasan dalam tempoh PKP.
Sementelah lagi kekurangan itu akan dihadapi pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pasti ada peniaga yang akan mengambil kesempatan bagi menutup kerugian sepanjang PKP dengan menaikkan harga.
Kerajaan PN memang tidak diundi untuk memerintah namun bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang selesa sepatutnya kerajaan ini mengambil nasihat daripada pihak yang bijaksana dan berpengalaman. Dalam situasi kecemasan semua pihak akan membantu tanpa mengira ideologi politik. Ataukah pemimpin PN mahu mendahulukan ideologi berbanding kebajikan rakyat dalam semua hal?