1. Pemulangan AS$300 juta (kira-kira RM1.3 bilion pada kadar tukaran semasa) kepada Malaysia adalah prerogatif kerajaan Amerika Syarikat.
2. Ini adalah duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri oleh pelbagai orang, termasuk Jho Low dan Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Mohd Najib Abdul Razak/anak Rosmah Mansor dengan suami pertamanya).
3. Wang ini dirampas oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) di bawah inisiatif KARI (Kleptocracy Asset Recovery Initiative). Dalam bahasa yang mudah ia adalah daya usaha dapatkan balik duit negara yang dicuri oleh pemerintahnya sendiri.
4. Siapakdan pemerintah kleptokrasi yang curi duit negara itu? DoJ melabelkannya Malaysian Official 1 (Pegawai Malaysia 1). Bekas menteri Kabinet Najib, Abdul Rahman Dahlan, mengesahkan bahawa MO1 ada Najib sendiri.
5. Oleh sebab duit curi 1MDB itu telah dipulangkan dan Muhyiddin Mohd Yassin dengan rasmi menerimanya, maka rasmi jugalah hakikat bahawa kerajaan mengakui duit itu duit curi.
6. Apabila ada duit yang dicuri tentulah ada yang mencurinya.
7. Maka dengan menerima balik duit curi yang dipulangkan oleh Amerika itu, bertambah kukuhlah kes terhadap semua orang yang terlibat mencuri dan menerima duit itu.
8. Walaupun kerajaan Perikatan Nasional yang Muhyiddin kepalai adalah kerajaan tanpa mandat - kerajaan tebuk atap kata Abdul Hadi Awang - namun ia wajib menghormati kebebasan Kehakiman.
9. Dalam Kehakiman pula dikatakan keadilan yang lambat dilaksanakan adalah keadilan yang dinafikan (justice delayed justice denied).
10. Perbicaraan Najib sudah berlangsung tujuh bulan. Kalau tanam padi sudah lama dituai. Bukan Najib saja berhak kepada keadilan. Rakyat jelata pun berhak juga.
11. Dalam kita bergembira dapat balik duit RM1.3 bilion dari Amerika itu, kita jangan pula lupa yang kita sudah kena tipu.
12. Kalau kita lupa dan alpa kita mungkin akan kena tipu sekali lagi. Sebab itu kita kecewa dan bimbang apabila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan. Macam ada benda yang hendak disembunyikan atau dinafikan daripada kita.
Wallahuaklam. Terima kasih.
Kadir Jasin