TAK PAYAH LA NGADA NGADA NAK JUMPA MENTERI WAKTU PKP NI..DOK DIAM DAH LA..



Suatu kecenderungan yang tidak kurang bahayanya di waktu ini ialah wujudnya sekumpulan manusia yang dengan sengaja mahu melanggar arahan PKP seolah-olah mereka adalah golongan istimewa.
Lebih malang, mereka ini rata-ratanya terdiri daripada manusia berilmu dan ada pelajaran, tetapi tidak mahu faham dengan peraturan tidak boleh keluar rumah yang ditetapkan kerajaan.
Lantaran itu, di waktu PKP ini golongan tersebut ternampak cuba menonjolkan diri dengan berjumpa menteri-menteri tertentu secara berkumpulan atau lebih daripada seorang dan kemudian memuatkan gambar-gambar pertemuan itu di laman sosial masing-masing.
Baru-baru ini, seorang pensyarah dan pemimpin UMNO serta beberapa rakan yang lain didapati mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Mohamad Albakri.
Pensyarah yang sama dengan beberapa yang lain juga kemudian mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican.
Terbaru, anak perempuan Presiden UMNO bersama suaminya turut mengadakan perjumpaan dengan Dr. Zulkifli dan seorang timbalan menteri yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya bapanya.
Untuk apa mereka berjumpa dengan menteri-menteri di musim PKP ini?
Adakah urusan mereka begitu penting sampai tidak boleh ditunda sehingga selepas berakhirnya PKP nanti?
Apakah mereka ini tidak faham peraturan duduk di rumah yang diarahkan kerajaan, malah setiap hari sama ada melalui Ismail Sabri Yaakob atau Dr. Noor Hisham Abdullah, kedua-duanya tidak pernah lupa mengingatkan agar semua orang patuh dengan PKP yang sedang dikuatkuasakan?
Atau agak-agaknya masa sekolah dulu mungkin mereka ini punya kenakalan tahap gaban dan selalu tidak dengar cakap cikgu?
Perlakuan mereka ini, lebih-lebih lagi kebengkengan anak Zahid Hamidi mencabar sesiapa membuat laporan polis terhadapnya, bukan saja mencemar nama bapanya, malah mengotorkan imej kerajaan yang bersungguh-sungguh mahu memerangi Covid-19.
Bersama kelakuan beberapa pemimpih kerajaan yang tular di media sosial kerana didapati melanggar PKP seperti makan beramai-ramai, solat berjemaah, menyambut hari jadi dan macam-macam lagi, tindakan mereka juga jelas suatu ketidaksenonohan yang nyata.
Mereka ini adalah golongan oportunis berikutan kedudukan, nama yang ada dan muka yang dikenali, lalu menggunakannya untuk menikmati jalan-jalan kehidupan bebas seperti hari-hari biasa.
Dengan nama dan kedudukan yang ada, mengguna pula alasan berjumpa menteri, walaupun mungkin mereka juga melalui sekatan jalanraya, tetapi sudah tentulah kelebihan untuk mendapat pelepasan lebih terbuka kerana muka mereka lebih dikenali.
Sebagaimana mereka juga terikat dengan peraturan duduk di rumah seperti rakyat biasa yang lain, dengan nama dan muka yang dikenali itu, mereka ini sepatutnya tidak perlu mengada-ngada untuk menonjol-nonjol diri berjumpa dan bergambar dengan menteri-menteri pada waktu PKP dikuatkuasakan ini.
Duduklah di rumah seperti rakyat biasa yang lain, lebih-lebih jika perjumpaan itu hanya bertujuan melobi projek, jawatan atau maksud-maksud lain yang sejenama dengannya. (ShahbudinHusin 21/04/2020)