Simpanan minyak berlebihan, harga jatuh merudum
Harga minyak mengalami kejatuhan teruk sepanjang minggu ini disebabkan kebimbangan mengenai lebihan kapasiti penyimpanan.
Kontrak penanda aras minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) turun 9.3 peratus kepada AS$15.36 setong dalam dagangan Isinin lalu di Asia.
Kontrak penanda aras Brent pula turun 3.2 peratus kepada AS$20.75 setong.
Harga minyak mengalami penyusutan ketara dalam beberapa minggu terakhir, terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 yang mengehadkan permintaan berikutan sekatan pergerakan dan kawalan perjalanan.
Minggu lalu, minyak mentah AS jatuh ke wilayah negatif buat pertama kalinya kerana ruang penyimpanan hampir penuh dan pelabur berusaha untuk menjualnya sebelum tamat kontrak perdagangan, namun tidak dapat mencari pembeli dengan mudah.
Harga telah pulih sejak itu, tetapi kekal pada tahap terendah dalam tempoh beberapa tahun.
Kebimbangan utama bagi peniaga adalah bahawa kemudahan penyimpanan terutama di AS, tidak dapat menampung lebihan bekalan.
“Kebimbangan mengenai peningkatan inventori global, terutama di AS dengan pandemik yang mengurangkan penggunaan petrol, menekan harga minyak,” kata penganalisis komoditi di Samsung Futures Inc, Kim Kwangrae.
Kebimbangan berterusan mengenai penyimpanan membayangi isyarat bahawa beberapa negara termasuk Kuwait dan Algeria mulai menurunkan output sejajar dengan perjanjian utama yang dimeterai bulan ini.