Menjadi bualan ramai di media sosial sejak malam semalam mengatakan Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin Ali telah menggunakan pejabat Timbalan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra.
Ia berikutan tweet Azmin sendiri di laman Twitternya yang memaparkan mengenai pertemuannya dengan beberapa duta asing di pejabatnya di Putrajaya.
Sebagai menteri MITI, menjadi pengetahuan umum pejabat Azmin bukanlah di Putrajaya, sebaliknya di Jalan Duta iaitu berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, ada pengguna media sosial melaporkan gambar di mana Azmin bertemu dengan duta-duta itu adalah pejabat Timbalan Perdana Menteri yang sebelum ini diduduki oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Oleh kerana dalam kerajaan PN tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya digantikan dengan empat menteri kanan, pejabat Timbalan Perdana Menteri sepatutnya dikosongkan.
Tiga lagi menteri kanan ialah Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin dan Menteri Kerjaraya, Fadzillah Yusof
Soalnya, bagaimana Azmin boleh menggunakan pejabat tersebut?
Adakah Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memberi keizinan?
Untuk Azmin sendiri, kenapa beliau bertemu duta-duta asing itu di situ dan bukan di pejabat MITI di Jalan Duta?
Apakah oleh kerana Muhyiddin telah menyatakan jika semasa ketiadaannya dalam negara, Azmin yang akan mempengerusikan mesyuarat kabinet, maka beliau merasakan dirinya tidak ubah seperti Timbalan Perdana Menteri?
Apa perasaan UMNO agaknya yang menyumbang 39 kerusi Parlimen dalam PN dengan gelagat Azmin ini? (ShahbudinHusin 10/04/2020)