Sebenarnya saya agak terkejut bila membaca ada rakyat Singapura yang pulangkan jumlah SGD 500 yang mereka terima sebagai bantuan Covid-19 dari kerajaan Singapura, walau pun nilainya hanyalah 2,000 orang tapi itu sebenarnya satu permulaan yang baik bila mana mereka lebih mementingkan nasib rakan senegara mereka yang lain.
Tambahan pula cara PM Singapura menghargai sumbangan warga asing terhadap pembangunan Singapura walau pun ramai dari mereka yang positif Covid-19 amat berbeza dengan tentera bawang Malaysia yang jadi terlalu xenophobic terhadap warga asing sampai sangup ugut bunuh terutama sekali pada masa Ramadhan. Nampaknya nilai puasa itu hanyalah setakat menahan lapar dan dahaga sampaikan hilang nilai ihsan dan insan.
Berbeza dengan orang kita, yang bantuan RM 100 persekolahan pun ramai ibu bapa yang sanggup menipu slip gaji padahal itu sudah jelas terang-terang untuk orang yang kurang berkemampuan. Nampaknya masih ada di antara kita yang rasa tidak bersalah jika mengambil hak orang lain.
Cuma bila teringat yang ada orang Singapura yang menolak bantuan itu, tiba-tiba saya teringat dengan kisah akhir zaman, yang tidak ada orang yang susah sampai tidak ada sesiapa pun yang mahu menerima sedekah mereka.
Dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau bersabda: “Tidak akan terjadi hari kiamat hingga harta yang ada pada kalian melimpah ruah, yang akhirnya si pemilik harta merasa sedih kerana tidak ada seorang pun yang bersedia menerima sedekahnya. Dan orang yang dimintanya untuk menerima sedekahnya menjawab, ‘Aku tidak memerlukan sedekah anda.'”
(HR Muslim, 1682)
(HR Muslim, 1682)
Sudah tentu ini jauh sekali dengan apa yang digambarkan dalam hadis Nabi, tapi kita sudah boleh lihat yang bibit-bibit kebenaran itu sedang ditayangkan di hadapan kita.
Ini adalah masa yang getir, pada hemat saya sedekah yang paling adfal ialah sedekah terhadap kaum kerabat dan yang terdekat; itu lebih afdal dari kita salur pada tabung peribadi mana-mana NGO.
“Bersadaqahlah kepada orang miskin adalah satu sedekah, dan kepada kerabat ada dua (kebaikan).. sedekah dan silaturrahim.”
(Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah )
(Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah )
Kadang-kadang benda ini nampak kecil, selagi kita masih lagi mendapat gaji penuh dan elaun yang tidak dipotong, bagi saya kekalkan sahaja bayaran servis yang kita selalu bayar pra-Covid19, macam bayaran pengasuh, tadika dan pengangkutan anak-anak ke sekolah. Jika kita yang masih belum kena kesan Covid-19 sudah mahu berkira-kira dan kedekut, yang sudah kena kesan ekonomi Covid-19 tentu lagi teruk. 2 hari lepas Menteri Pelancongan, Nancy Shukri kata 1 juta pekerja sektor pelancongan dijangka hilang kerja, itu masih kurang dari jumlah 2.4 juta yang dijangka MIER untuk hilang kerja.
Betul saya faham yang perbelanjaan rumah sendiri pun memang meningkat lebih dari 30% sejak sebulan lepas tapi sekurang-kurangnya kita masih mampu untuk memberikan makanan di atas meja. Saya juga tahu ramai pengusaha tadika, pengangkutan yang hadapi masalah aliran tunai, ada yang sampai kena serangan anxiety dan panik jadi jika kita masih mampu membayar yuran, inilah masa yang terbaik untuk bersedekah. Nilai sedekah itu diukur berdasarkan konteks zaman tersebut; sudah tentu nilai RM 10 pada orang yang baru hilang kerja besar berbanding dengan RM 1,000 pada orang yang baru dapat bonus.
Hidup ini kita tak boleh sentiasa pikir, kalau aku buat ini apa yang aku akan dapat, kadang-kadang kita kena fikir, kalau aku tak tolong apa yang akan terjadi? Mungkin hari ini kita masih lagi bernasib baik, industri yang kita kerja agak lambat terkesan dengan Covid-19 tapi kalaulah perkara yang sama terjadi pada kita, masa itulah kita akan menagih simpati orang lain. Contoh, kalau pengusaha tadika dan pengangkutan tadi bankrupt, agak-agaknya nanti kalau PKP ini berakhir, adakah kita ada lagi tempat hendak hantar anak kita atau pun siapa yang hendak ambil anak kita dari sekolah? Mungkin ini caranya Allah hendak menguji kita sama ada kita ini prihatin atau tidak kepada nasib tetangga kita? Atau pun kita jenis yang bangga dengan ibadah peribadi sampai umrah 2-3 kali tapi jiran tidur dalam kelaparan pun kita tidak tahu?
Betul, mereka ini tidak nilai entertainment; kalau buat video pun tak akan viral sebab mereka ada rumah dan kenderaan, nampak pakai semua cukup tapi ramai yang macam ini taraf miskin bandar. Kadang-kadang mereka malu nak minta tapi sebagai insan kita pun kenalah peduli masalah orang sekeliling kita, macam mana kita mahu Allah peduli dengan masalah kita di hari penghakiman nanti.
Moga Allah terima ibadah kita dan berdoa supaya diangkat segera musibah ini dengan keberkatan Ramadhan; antara masa mustajab berdoa ialah sebelum berbuka puasa.
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”.
(HR Ibnu Majah)
(HR Ibnu Majah)
WAllahualam.